KPDNHEP Kelantan keluar 15 notis SHMMP fasa pertama

Azanizam (dua dari kiri) melakukan walkabout dan mendengar taklimat mengenai barangan yang dikenakan SHMMP di Pasaraya Econsave, Kubang Kerian, Kota Bharu pada Khamis.
Azanizam (dua dari kiri) melakukan walkabout dan mendengar taklimat mengenai barangan yang dikenakan SHMMP di Pasaraya Econsave, Kubang Kerian, Kota Bharu pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Sebanyak 15 notis dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan melibatkan tiga kesalahan utama pada fasa pertama Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Negeri, Azanizam Affendi Juri berkata, 15 notis tersebut melibatkan nilai kompaun keseluruhan berjumlah RM2,650.

"Fasa pertama bermula 21 April sehingga 5 Mei dan sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 132 premis borong dan 2,548 premis runcit diperiksa, selain menerima dua aduan daripada orang awam.

"Kesemua 15 notis tersebut melibatkan tiga kesalahan utama iaitu dua kes gagal mempamerkan tanda harga khas, enam kes tiada tanda harga dan tujuh kes menjual melebihi harga kawalan.

"Kami juga mengeluarkan enam notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga kepada peniaga ayam iaitu tiga notis membabitkan peladang atau penternak dan tiga lagi kepada pemborong," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Beliau hadir Walkabout SHMMP Hari Raya Puasa 2021 di Pasaraya Econsave, Kubang Kerian, di sini.

Hadir sama, Timbalan Exco Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan, Saiful Adli Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Azanizam berkata, mana-mana peniaga yang gagal mematuhi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 untuk kesalahan jual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh dikenakan penalti denda RM100,000 atau penjara, atau kedua-duanya melibatkan individu manakala denda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000 melibatkan syarikat.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau berkata, untuk kesalahan gagal meletakkan tanda harga merah jambu pula boleh dikenakan tindakan denda RM10,000 atau kompaun RM5,000 untuk individu dan syarikat pula boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

"Untuk fasa kedua kita akan bermula pada 6 Mei sehingga 20 Mei melibatkan penambahan 20 jenis barang dan menjadikan ia kini berjumlah 32 jenis.

"Jika didapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan dengan skim ini, pengguna boleh menyalurkan maklumat aduan kepada kami melalui portal e-aduankpdnhep.gov.my, aplikasi telefon pintar EzADU atau Whatsapps ke 019279431," katanya.