World #QuranHour diadakan serentak di 2,742 lokasi

Program World #QuranHour yang diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada Khamis dihadiri kira-kira 50 orang peserta. - Foto: Sinar Harian/ Rosli Talib
Program World #QuranHour yang diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada Khamis dihadiri kira-kira 50 orang peserta. - Foto: Sinar Harian/ Rosli Talib
A
A
A

PUTRAJAYA - Walaupun negara menghadapi pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam daerah di Selangor, ia bukan penghalang umat Islam mendekatkan diri dengan al-Quran menerusi penganjuran program World #QuranHour.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff, walaupun beberapa tempat menghadapi PKP, tetapi pihaknya mendapat maklum balas ramai yang mahu menyertai program ini.

“Tetapi kita terpaksa hadkan (jumlah kehadiran) maknanya kita terima sekitar 50 orang sahaja untuk tetamu terutamanya ketua-ketua.

“Ini merupakan pertama kali program World #QuranHour diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin,” katanya kepada Sinar Harian.

Hadir sama dalam program World #QuranHour ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary dan Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Muhamad Nasir Hamzah.

Pada Khamis, World #QuranHour telah memilih Surah Al-Mulk sebagai surah pilihan yang dibacakan oleh tujuh qari iaitu Ahmad Tirmizi Abdul Rahman, Ahmad Tirmizi Ali, Abdul Khair Jalil, Husaini Mahmur, Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim, Megat Mohd Zaid Megat Azmuddin dan Jalaluddin Mohd Zaiki.

Sesi tadabbur pula disampaikan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Mohd Daud Bakar, Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail dan pemenang Daie Antarabangsa Yadim, Hifdzi Zaim Zamri.

Artikel Berkaitan:

Barisan tetamu kehormat yang hadir pada Program World #QuranHour di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya bergambar sambil menunjukkan plakad World #QuranHour. Foto: Sinar Harian/ Rosli Talib.
Barisan tetamu kehormat yang hadir pada Program World #QuranHour di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya bergambar sambil menunjukkan plakad World #QuranHour. Foto: Sinar Harian/ Rosli Talib.

Mengulas lanjut, Marhaini berkata, World #QuranHour diadakan secara serentak di 2,700 lokasi dalam negara manakala 42 lokasi di luar negara.

“Untuk di Malaysia kebanyakan lokasi berlangsung bermula pada jam 12 sehingga 1 tengah hari, manakala di luar negara pula ikut masa masing-masing.

“Tapi ada juga negeri yang terpaksa membatalkan program pada minit terakhir apabila kes Covid-19 semakin meningkat dan mereka adakan secara dalam talian,” katanya.

Mengulas mengenai pemilihan Surah Al-Mulk untuk tahun keenam penganjuran World #QuranHour ini, Marhani berkata, ini disebabkan surah itu dibaca oleh umat Islam pada setiap malam.

“Tetapi belum diberi perhatian pada isi Surah Al-Mulk itu sendiri,” katanya.

Selain itu katanya, pemilihan Surah Al-Mulk juga adalah kerana situasi Covid-19 menyebabkan keadaan masyarakat rapuh dengan masalah yang menimpa mereka.

“Jadi kita bawa Surah Al-Mulk yang mereka baca tiap malam ini untuk membina kekuatan dalam diri mereka dan yang pentingnya kita nak bawa ke arah membina keluarga, membina organisasi dan negara,” jelasnya.

Dari segi sambutan, Marhaini berkata, semenjak enam tahun penganjuran World #QuranHour, paling tinggi capaian yang diperoleh di media masa adalah pada tahun 2019 iaitu sebelum pandemik Covid-19.

“Masa itu penganjurannya di banyak lokasi di seluruh Malaysia dan seluruh dunia sehingga kita mencapai 1.46 bilion capaian di media sosial.

“Tetapi untuk tahun lepas ia menurun. Cuma pada tahun ini kita nampak peningkatan semula.

“Kalau kita lihat sasaran untuk capaian di media sosial untuk tahun ini 100 juta tapi semalam kita dah capai lebih 462 juta,” jelasnya.

Menurutnya, program World #QuranHour akan diadakan agi pada 30 Ogos depan sempena bulan kemerdekaan.

Beliau berkata, Surah Al-Mulk juga dipilih pada sambutan berkenaan tetapi dari sudut yang berbeza.