X

Kindly register in order to view this article
!

PKP 3.0: Rakyat perlu bertenang, rasional

Najmil Faiz
A
A

KUALA TERENGGANU - Rakyat negara ini diharap dapat bertenang dan berfikiran rasional untuk sekali lagi berdepan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, tindakan kerajaan mengumumkan perlaksanaan PKP supaya penyakit ini dapat dikawal seterusnya tidak menular melibatkan angka yang lebih besar.

"Memang kita sedih tidak dapat beraya dengan keluarga dan sanak saudara di kampung halaman, namun dalam situasi sekarang kita perlu terima dengan hati terbuka dan rasional.

"Saya lihat di media sosial, ramai yang menyalahkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana beliau yang mengumumkan PKP. Peranan beliau hanyalah sebagai jurucakap atau wakil kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhubung isu PKP dan prosedur operasi standard (SOP).

"Segala arahan berkaitan PKP ditentukan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan kabinet berdasarkan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Najmil turut meletakkan harapan untuk negara kembali pulih daripada pandemik ini.

"Kita tidak mahu jadi seperti India yang mencatatkan kes Covid-19 melepasi 20 juta hingga sektor kesihatan lumpuh. Kita masih ada harapan untuk kembali pulih.

"Saya juga risau lihat situasi di bazar Ramadan yang sesak dengan pengunjung. Ada juga yang membawa anak kecil di tempat awam yang sesak. Jika tidak dikawal pergerakan rakyat, kes Covid-19 akan terus menular.

"Saya harap kita semua dapat bersabar dan berlapang dada demi keselamatan kita semua. Saya percaya kita semua dapat mengharunginya sekali lagi sebagai rakyat Malaysia," katanya.

Kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP 3.0 melibatkan kawasan Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang bermula Khamis.

Selain itu, beberapa negeri turut dikenakan PKP antaranya Wilayah persekutuan Kuala Lumpur, Perak (Taiping, Larut, Matang dan Selama) serta Johor (Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi).

Pelaksanaan di negeri-negeri terbabit bermula 7 hingga 20 Mei 2021.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!