World #QuranHour diharap dekatkan masyarakat dengan al-Quran

Abdul Khair Jalil
Abdul Khair Jalil
A
A
A

PUTRAJAYA - Penganjuran World #QuranHour diharap dapat mendekatkan diri masyarakat dan umat Islam dengan al-Quran.

Qari, Abdul Khair Jalil berkata, beliau turut mengharapkan World #QuranHour ini yang telah memasuki tahun keenam penganjurannya membolehkan orang bukan Islam tertarik dan mengenali agama Islam.

“Program ini program yang kita nampak komersial. Maknanya semua orang tengok.

“Apa yang kita harapkan mudah-mudahan dengan adanya dan berterusan program ini masyarakat akan celik mata dengan al-Quran,” katanya kepada Sinar Harian selepas Program World #QuranHour di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini pada Khamis.

Pada Khamis, World #QuranHour telah memilih Surah Al-Mulk sebagai surah pilihan yang dibacakan dan Abdul Khair merupakan salah seorang daripada tujuh qari yang membacakan surah berkenaan.

Abdul Khair turut melihat pada masa kini, adalah senang untuk melihat dan mempelajari al-Quran.

“Kalau macam dahulu kita nak jumpa al-Quran hanya di masjid, kita nak jumpa al-Quran hanya di kampung-kampung dan mungkin hanya ustaz-ustaz tertentu yang mengajar.

“Tapi sekarang ini program-program al-Quran seperti ini semua orang boleh tengok. Dalam Facebook ada, televisyen ada dan ia adalah komersial,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang masuk kali keempat menyertai World #QuranHour ini turut melihat program ini berlangsung meriah pada setiap penganjurannya.

“Alhamdulillah kalau kita lihat sambutan untuk program ini meriah sama ada secara bersemuka atau dalam talian.

“Mudah-mudahan ia berterusan dan dapat diteruskan momentum ini kerana kita nak tarik orang kenal serta mendalami al-Quran,” ujarnya.