Dadah: 108 lagi individu dikehendaki polis di Kemaman

Antara individu yang dikehendaki.
Antara individu yang dikehendaki.
A
A
A

KEMAMAN - Seramai 108 lagi individu dicari polis daripada 263 yang berada dalam senarai orang dikehendaki bagi membantu siasatan membabitkan penyalahgunaan dadah di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sejak operasi khas dilancarkan pada 1 April lalu, pihaknya berjaya menangkap 110 individu yang diburu dan sudah didakwa atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Dalam tempoh itu juga, kesemuanya berjaya dituduh atas kesalahan masing-masing malah 80 peratus daripadanya sudah dikenakan hukuman penjara.

"Terkini, kami akan siarkan empat lagi wajah individu dikehendaki berusia antara 34 hingga 37 tahun kerana mereka diperlukan untuk selesaikan kes di mahkamah dalam tempoh terdekat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Sebelum ini, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman mengambil inisiatif melancarkan operasi khas bertujuan mengesan 263 individu bagi membantu siasatan membabitkan kes dadah yang dipercayai masih berada dalam daerah dan negeri ini.

Dalam tempoh empat hari operasi, seramai 45 pesalah ditahan termasuk ada di antaranya yang menyerah diri dan kes mereka telah dituduh di mahkamah.

Selain operasi khas dilakukan, Hanyan berkata, pihaknya mengambil inisiatif mengeluarkan senarai pesalah ini secara berperingkat menerusi semua saluran media sosial termasuk di Facebook rasmi IPD Kemaman.

"Melihat kejayaan positif ini, Insya-ALLAH, kami akan usaha mendapatkan kesemua baki individu dikehendaki sebelum Syawal nanti," katanya.

Artikel Berkaitan: