SOP ketat bendung penularan Covid-19 di penjara

Penjara Reman Pulau Pinang. - Foto Bernama
Penjara Reman Pulau Pinang. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Prosedur operasi standard (SOP) yang ketat berjaya membendung penularan wabak Covid-19 di tiga penjara di Pulau Pinang dengan dua daripadanya merekodkan sifar kes.

Pengarah Penjara Pulau Pinang, Roslan Mohamed berkata, ketika ini hanya terdapat lima kes Covid-19 direkodkan di Penjara Reman Pulau Pinang, di sini dan semua banduan terbabit telah diasingkan daripada penghuni lain bagi mengelak penularan jangkitan.

"Sebelum ini boleh dikatakan ada sehingga 100 hingga 400 kes Covid-19 di tiga penjara, namun sejak SOP lebih ketat dibuat, setakat ini Penjara Seberang Perai dan penjara satelit di Bukit Mertajam tiada lagi kes baharu dilaporkan.

"Kami memastikan semua banduan yang masuk ke penjara menjalani ujian saringan terlebih dahulu dan mereka diasingkan dengan banduan sedia ada sehingga keputusan ujian diperoleh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mewakili Jabatan Penjara Pulau Pinang menerima sumbangan keperluan makanan untuk petugas barisan hadapan daripada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.

Hadir sama, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan.

Dalam pada itu, Roslan berkata, kira-kira 99 peratus daripada 329 petugas Jabatan Penjara Pulau Pinang telah menerima vaksin Covid-19 manakala selebihnya belum mendapat suntikan tersebut kerana masalah kesihatan.

Katanya, kira-kira 86 peratus daripada 6,022 anggota dan pegawai polis Pulau Pinang telah menerima vaksin Covid-19 dan kesemua mereka adalah petugas di lapangan serta perlu berdepan orang awam.

Artikel Berkaitan:

"Kami telah mendapat komitmen daripada Kementerian Kesihatan untuk menyelesaikan suntikan vaksin Covid-19 bagi pegawai dan anggota yang belum menerimanya kerana mereka perlu mendapat vaksin agar dapat digerakkan di lapangan menjalankan tugas," katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai agar menjaga keselamatan diri ketika berada di jalan raya selain kediaman masing-masing terutama ketika musim perayaan Aidilfitri nanti.

"Aliran trafik di negeri ini masih tinggi kerana sektor ekonomi masih dibuka, jadi saya nasihatkan sila berhati-hati di jalan raya dan kediaman juga perlu dikunci serta dipantau rapi agar tidak menjadi sasaran kepada penjenayah ketika musim perayaan ini," katanya. - Bernama