Sambutan Jubli Intan: Satu perjuangan panjang bagi UMNO

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

SHAH ALAM - Tanggal 11 Mei ini genaplah 75 tahun usia parti berteras Melayu iaitu UMNO yang menandakan pencapaian tempoh Jubli Intan dalam perjuangan yang panjang.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan sambutan hari ulang tahun parti itu adalah perlu untuk memperingati UMNO sebagai sebuah parti yang begitu lama berjasa kepada rakyat dan negara.

“Majlis Kerja Tertinggi dalam mesyuarat pada 25 April 2021 bersetuju bersempena dengan Jubli Intan UMNO, sambutan akan dibuat di setiap negeri pada Mei dan Jun 2021 tertakluk kepada SOP. Pada sambutan berkenaan, tokoh UMNO setiap negeri akan diumumkan dan diberi penghargaan.

“Adalah diharapkan agar 191 UMNO bahagian di seluruh negara mengadakan sambutan secara sederhana mengikut garis panduan prosedur operasi standard (SOP) bagi memerangi Covid-19,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau memaklumkan, UMNO kini mempunyai 21,135 cawangan, 191 UMNO Bahagian di 13 negeri dengan keahlian 3.3 juta orang iaitu UMNO kekal sebagai parti politik terbesar di negara Malaysia.

"Antara saranan acara bagi meraikan sambutan ulang tahun UMNO ialah menaikkan bendera UMNO di pejabat UMNO negeri dan bahagian serta di kawasan tertentu yang difikirkan sesuai, bermula seawal mungkin.

"Mengadakan solat hajat, bacaan Yasin dan doa selamat agar pemimpin UMNO, ahli, penyokongnya serta seluruh rakyat Malaysia dilindungi dan sentiasa dibantu oleh ALLAH SWT," katanya.

Katanya, sempena Ramadan dan Syawal pula adalah disyorkan UMNO bahagian terus melakukan program Ziarah Kasih dan membantu mereka yang memerlukan di kawasan masing-masing.

Artikel Berkaitan:

"Adalah disyorkan juga agar sebaran ucapan dan temuramah melalui media sosial dibuat di kalangan pimpinan UMNO Bahagian berkaitan dengan jasa dan perjuangan UMNO khususnya merujuk kepada pembangunan di kawasan masing-masing," katanya.