203 peniaga dikompaun di seluruh negara: Rosol

Rosol
Rosol
A
A
A

KEMAMAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan kompaun dengan nilai keseluruhan RM30,050 terhadap 203 peniaga di seluruh negara atas pelbagai kesalahan berkaitan perniagaan sejak 21 April lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, daripada jumlah itu 90 peniaga dikenakan kompaun kerana kesalahan tidak meletakkan tanda harga, diikuti gagal menggunakan tanda harga khas (60) dan menjual melebihi harga maksimum yang ditetapkan (53).

"Semua kesalahan ini dikesan hasil pemeriksaan pegawai penguat kuasa di 29,170 premis seluruh negara (561 borong dan 28,609 premis runcit) bersempena pemeriksaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 yang bermula 21 April lalu.

"Skim kawalan harga barang bukan bertujuan untuk menyekat keuntungan peniaga dan pemborong, sebaliknya bertujuan menstabilkan harga barang selain memastikan pengguna tidak teraniaya," katanya kepada pemberita ketika meninjau pemeriksaan harga barangan di sebuah pasar raya di Kijal pada Khamis.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, KPDNHEP tidak menolak kemungkinan akan meneruskan skim kawalan harga barang keperluan selepas Aidilfitri sekiranya berlaku kenaikan harga barang yang mendadak.

"Sekiranya harga barang terus naik melampau (selepas raya), kita boleh laksanakan kawalan harga ini. Komitmen kita, tidak tunggu musim perayaan, tetapi kita boleh laksanakannya pada bila-bila masa sekiranya ada kenaikan harga melampau... bukan hanya melibatkan ayam dan daging, tetapi semua barang keperluan makanan," katanya.

Beliau turut menasihati pengguna agar sentiasa merujuk aplikasi Price Catcher yang telah disediakan oleh pihak KPDNHEP untuk membuat perbandingan harga mengikut lokasi pilihan bagi mendapatkan barangan pada harga berpatutan.

Rosol berkata, sebarang aduan mengenai peniaga boleh dibuat dengan merujuk kepada portal e-aduan@kpdnhep.gov.my, talian Hotline KPDNHEP 1800-886-800, e-mel e-aduan@kpdnhep.gov.my, aplikasi Telefon Pintar EzADU, Pusat Arahan Penguatkuasaan, WhatsApp ke 019-279 4317, Facebook dan Twitter KPDNHEP atau boleh hadir sendiri ke mana-mana pejabat KPDNHEP di seluruh negara.

Artikel Berkaitan: