Nasib pekerja dibela: Exco

Mohd Sofi (duduk, dua, kiri) mengadakan perbincangan dengan pekerja kaunter tiket, wakil pengendali syarikat bas dan pengurusan Melaka Sentral Sdn Bhd di terminal bas terbabit.
Mohd Sofi (duduk, dua, kiri) mengadakan perbincangan dengan pekerja kaunter tiket, wakil pengendali syarikat bas dan pengurusan Melaka Sentral Sdn Bhd di terminal bas terbabit.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan Melaka akan memastikan nasib semua pekerja di kaunter tiket terminal bas Melaka Sentral terbela walaupun Sistem Tiket Berpusat (CTS) akan dilaksanakan mulai 1 Mac depan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, setakat tiada seorang pun pekerja terbabit yang kehilangan pekerjaan berikutan pelaksanaan sistem tersebut.

Malah, pada masa yang sama pihaknya dimaklumkan tiada pengendali syarikat bas ekspres yang beroperasi di terminal itu telah menghantar notis penamatan pekerjaan kepada pekerja mereka.

Menurutnya, walaupun CTS akan dilaksanakan mulai bulan depan, beliau telah mengarahkan supaya syarikat pemilik terminal, Melaka Sentral Sdn Bhd (MSSB) dan semua pengendali syarikat bas supaya berbincang bagi memastikan tiada pekerja yang akan ditamatkan perkhidmatan.

“Saya difahamkan MSSB telah menghantar notis kepada semua pengendali syarikat bas pada 21 November lalu memaklumkan mengenai pelaksanaan CTS bermula 1 Mac ini, dan tempoh yang diberikan itu agak memadai kepada semua pengendali syarikat bas memikir cara yang terbaik untuk menetapkan hala tuju kakitangan mereka.

“Untuk itu, pengendali syarikat bas di Melaka Sentral perlu menyenaraikan kakitangan mereka yang masih diperlukan untuk berkhidmat selepas pelaksanaan CTS tidak lama lagi untuk kita lihat berapa jumlah pekerja yang tinggal dan menerusi bilangan itu kita akan pastikan mereka ini tidak akan diberhentikan,” katanya.

Beliau ditemui media selepas mengadakan pertemuan dengan lebih 40 pekerja kaunter tiket, pengendali syarikat bas dan pengurusan MSSB di bilik mesyuarat MSSB di sini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah MSSB, Nazri Abu Kasim dan wakil Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri, Mohd Anas Mohd Nor.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian 17 Februari lalu melaporkan Pesuruhjaya Pas Melaka, Kamarudin Sidek yang mendakwa kerajaan negeri kurang bijak dalam menyelesaikan isu pelaksanaan sistem CTS terminal bas Melaka Sentral.

Ia berhubung keluhan kira-kira 60 kakitangan kaunter tiket yang bimbang kemungkinan mereka akan kehilangan pekerjaan apabila sistem baharu itu dijalankan mulai 1 Mac depan.

Sementara itu, Mohd Sofi menegaskan kerajaan negeri di bawah PH tidak akan bertindak zalim dan akan berusaha memastikan nasib semua pekerja di kaunter tiket terbabit terbela.

“Apa guna kita jadi kerajaan jika ada yang hilang kerja atau tidak cukup makan?, itu bukan prinsip kita sebaliknya kita akan bantu mereka walaupun CTS dijalankan, agar mereka tidak hilang mata pencarian.

“Senarai yang disediakan pengendali itu akan digunakan untuk kita lihat berapa ramai pekerja yang akan terus berkhidmat dalam syarikat bas, jika ada pekerja yang tidak diperlukan, kita akan cari jalan supaya mereka ini tetap mendapat pekerjaan sama ada di sektor lain atau mendapat pampasan yang sewajarnya, itu jalan terakhir kita,” katanya.