Aura import baharu lonjak semangat Tok Gajah di Darul Makmur

Pemain Sri Pahang, Abdul Malik Mat Ariff meraikan jaringan ketika menentang Selangor FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur malam tadi. -Foto: Bernama
Pemain Sri Pahang, Abdul Malik Mat Ariff meraikan jaringan ketika menentang Selangor FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur malam tadi. -Foto: Bernama
A
A
A

PERCATURAN ketua jurulatih Sri Pahang FC, Dollah Salleh menurunkan tiga pemain import baharu menyelamatkan maruah skuad Tok Gajah itu daripada ditundukkan di gelanggang sendiri apabila mengikat Selangor FC 2-2, dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur di sini malam tadi.

Dollah berkata beliau terpaksa membuat pertaruhan dengan menurunkan Manuel Federico Hildago, Abubakar Yakubu dan Athiu Kenjok Wal bagi menyelamatkan pasukan bimbingannya daripada terus menerima kekalahan dan sekurang-kurangnya mengutip satu mata.

"Berdasarkan pemerhatian, corak permainan Sri Pahang sudah nampak perbezaannya...cuma pada perlawanan ini, kerana terlalu inginkan kemenangan kita lebih banyak bertahan sehingga memberi ruang kepada Selangor menjaringkan dua gol.

"Bagaimanapun setelah ketinggalan, pemain kita berjaya bangkit pada babak akhir permainan," katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.

Dollah mengakui nadi penggerak serangan skuadnya kini berjaya digalas dengan baik oleh pemain muda Argentina, Hidalgo yang mengucar-ngacirkan barisan pertahanan lawan.

Menurut Dollah, pemain dari Myanmar Aung Kaung Mann belum dapat diturunkan bagi menyelesaikan urusan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC).

Sementara itu, pengendali Selangor, Karsten Neitzel menyifatkan keputusan seri itu agak menyakitkan kerana jaringan penyamaan Sri Pahang berlaku pada minit akhir iaitu setelah anak buahnya mendahului dengan dua gol.

"Pengajaran di sini ialah jika anda sudah menjaringkan gol dan mendahului, kemenangan itu harus dikekalkan dengan cara bermain secara konsisten sepanjang 90 minit perlawanan.

Artikel Berkaitan:

"Bagi saya pemain sudah memberikan yang terbaik tetapi apabila gol pihak lawan dijaringkan pada masa tambahan ia pasti mengecewakan," katanya. - Bernama