Kelantan hadkan 30 peratus bekerja di pejabat

Dr Izani Husin
Dr Izani Husin
A
A
A

KOTA BHARU - Hanya 30 peratus sahaja penjawat awam dan kakitangan swasta di Kelantan dibenarkan untuk bekerja di pejabat dalam usaha membendung penularan Covid-19.

Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin berkata, pihaknya bercadang untuk menguatkuasakan peraturan itu selewat-lewatnya Ahad ini.

"Tindakan itu selari dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dikuatkuasakan di Kelantan ketika ini.

"Bila kita kuatkuasakan arahan ini, selebihnya penjawat awam dan kakitangan swasta boleh bekerja dari rumah," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Penyelarasan Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Bagi Mengawal Penularan Covid-19 di Kota Darulnaim di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin.

Menurutnya, golongan yang diberikan peluang bekerja dari rumah itu diingatkan supaya patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata, pematuhan SOP itu ialah dengan tidak keluar dari rumah ke tempat awam tanpa sebarang tujuan kerana ia boleh mendedahkan individu itu kepada risiko.

"Usaha ini merupakan salah satu pendekatan memutuskan rantaian Covid-19 di tempat kerja sekaligus mengurangkan kes baharu jangkitan di negeri ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang berkata, bukan itu sahaja SOP di negeri ini akan terus diperketatkan dan berharap rakyat dapat mengikuti garis panduan sebagaimana ditetapkan oleh kerajaan.

"Pemeriksaan di beberapa lokasi awam terutama di gerai tepi jalan yang dilakukan secara mengejut oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), polis dan sebagainya.

"Bukan itu sahaja, kita juga telah mengeluarkan arahan kepada peniaga di tepi jalan untuk membuat penjarakan fizikal yang baharu iaitu tiga meter," katanya.

Katanya, peraturan dua individu bagi sebuah kereta akan kembali dikuatkuasakan selari dengan perlaksanaan PKP.

"Bagaimanapun tiga individu dalam kereta untuk satu-satu masa dibenarkan jika membawa orang sakit atau kecemasan," katanya.