PKP tidak ikut data, sains yang tepat: Syed Saddiq

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

SHAH ALAM - Pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempertikaikan keputusan kerajaan dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, ini kerana keputusan melaksanakan semula PKP di Selangor dan kemudiannya di Kuala Lumpur dilihat seperti tanpa bersandarkan kepada kajian sains dan data yang tepat.

"Contohnya pengumuman PKP di enam daerah di Selangor (Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang) pada Selasa namun, timbul persoalan mengapa Kuala Lumpur tidak disenaraikan sekali sedangkan kes di Kuala Lumpur lebih tinggi.

"Tiba-tiba, pada 5 Mei (Rabu) kerajaan umumkan pula Kuala Lumpur sebagai kawasan PKP. Adakah keputusan ini dibuat kerana ramai yang meminta penjelasan kerajaan atau ia dibuat mengikut data dan sains?

"Sekejap macam ini, sekejap macam itu. Saya sendiri tidak pasti apakah kayu ukur yang digunakan oleh kerajaan," kata Syed Saddiq yang juga merupakan bekas Menteri Belia dan Sukan dalam kenyataan di laman Facebooknya pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan sama ada kerajaan sedar bahawa hampir separuh daripada kluster Covid-19 berpunca dari kilang iaitu 48.06 peratus berbanding kluster awam namun pelaksanaan PKP tidak diutamakan di kawasan kilang.

"Kluster awam yang lain jauh lebih rendah berbanding kilang tetapi mengapa tindakan kerajaan umumkan PKP tidak tertumpu kepada kawasan kilang?

"Mengapa peniaga dan penjaja bazar pula yang terjejas atau mereka yang perlu tutup kedai lebih awal kerana pengumuman PKP," soalnya.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Muar itu menambah, sekiranya kerajaan bekerja mengikut data sudah pastinya kawasan kilang akan menjadi tumpuan dalam usaha melawan Covid-19.

"Malangnya itu tidak berlaku. Jadi, yang perlu tanggung kesusahan bersama ini adalah rakyat. Menteri hanya pandai umum PKP dan tutup kedai. Yang rugi rakyat. Yang tidak membaca data, menteri," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: PKP dilaksana di Kuala Lumpur mulai 7 Mei hingga 20 Mei

PKP di enam daerah di Selangor