X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 20 Oktober 2021

'Kehilangan besar buat Armada'

Wan Ahmad Fayhsal (dua dari kiri) menyampaikan salam dan sumbangan daripada Muhyiddin kepada keluarga arwah.
A
A

KOTA BHARU - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan pemergian Ketua Pemuda Armada Kelantan, Allahyarham Datuk Muhammad Amiin Ridhuwan Ab Aziz sebagai satu kehilangan yang cukup berharga buat sayap parti itu.

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, arwah merupakan antara sayap kanan penggerak Armada di kawasan pantai timur dan keperibadian arwah perlu dicontohi terutamanya dalam memastikan kebajikan rakyat terjaga.

Menurutnya, antara perancangan yang sedang diusahakan arwah sebelum ini adalah untuk membantu kerja-kerja pendaftaran vaksinasi melibatkan golongan warga emas dan seluruh rakyat Kelantan.

“Saya menyeru kepada semua pemuda Armada di Kelantan mencontohi gerak kerja dan kesungguhan beliau terutamanya dalam menjaga kebajikan rakyat. Contoh terdekat ialah dalam isu yang membabitkan saman kompaun peniaga burger baru-baru ini, beliau orang pertama ke depan membantu mangsa.

“Saya amat berbangga dengan apa yang beliau telah lakukan untuk masyarakat di Kelantan. Inilah contoh kepimpinan anak muda yang kita hendak ketengahkan dalam Armada dan Perikatan Nasional.

“Kepimpinan kami dan keseluruhannya berasa hiba namun kita pasrah dan reda dengan pemergian beliau. Semoga keluarga arwah tabah menghadapi ketentuan ini,” katanya kepada pemberita di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Ketua Armada Kelantan meninggal dunia

Hadir sama Timbalan Pengarah HRPZ II, Dr Mohd Azman Yacob dan kepimpinan tertinggi Armada Kelantan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu hadir ke Kelantan di atas urusan tinjauan pusat vaksinasi di negeri dan berkesempatan hadir memberikan penghormatan terakhir kepada arwah dan keluarga di Unit Forensik berkenaan.

Beliau turut menyampaikan salam daripada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin selain menyampaikan sumbangan untuk pengurusan jenazah kepada keluarga arwah.

Ketika ditanya mengenai jawatan Ketua Pemuda Armada Kelantan, Wan Ahmad Fayhsal memberitahu, buat sementara waktu ia akan dipangku oleh Naib Ketua Pemuda, Nas Azreel Ahmad Nas Rudin.

Datuk Muhammad Amiin Ridhuwan Ab Aziz, 36, meninggal dunia pagi Khamis dipercayai akibat serangan jantung.

Arwah meninggal dua orang balu iaitu Nurul Fazrina Mohd Razali, 35, dan Nur Zuriana Zulkifli, 34, serta enam orang anak.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!