X

Kindly register in order to view this article
!

Tujuh lelaki didakwa sertai kumpulan jenayah terancang

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

IPOH - Tujuh lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas tuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai Geng Nantha Kumar sejak 2018.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Gunasegaran, Muhammad Firdaus Abdullah, Rahuljeet Singh, P.Kamal Raj, N Pubalan, S Kumaran dan G Prem selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Kesemua tertuduh yang berusia 23 hingga 35 tahun terbabit didakwa melakukan kesalahan itu dalam daerah Kinta antara Ogos 2018 hingga Februari 2020.

Pertuduhan ke atas mereka dibuat mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abd Rahman dan Mohd Farhan Aliff Ahmad manakala enam daripada tujuh tertuduh diwakili peguam, sementara Pubalan tidak mempunyai peguam.

Mahkamah menetapkan 8 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Rohaiza ketika ditemui media kemudian memaklumkan bahawa mahkamah tidak membenarkan sebarang ikat jamin terhadap kesemua tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah TInggi. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Polis tumpas Geng Nantha Kumar aktif samun, pecah rumah


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!