Empat beradik hidup daif dalam kebun

Tiga beradik kini bersedia untuk bersekolah selepas mendapat perhatian MPKK, ADUN dan MDKS
Tiga beradik kini bersedia untuk bersekolah selepas mendapat perhatian MPKK, ADUN dan MDKS
A
A
A

JERAM - Tidak bersekolah lebih dua tahun dan berteduh dalam kebun pinggir hutan menjadikan empat beradik ini hidup terpencil daripada orang ramai selepas ibu bapa mereka bercerai.

Lebih menyedihkan, rumah mereka serba kekurangan tanpa bekalan air bersih dan hanya satu mentol menyala.

Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Bukit Kuching Tengah semalam tampil menghulurkan bantuan.

Pengerusinya, Saharudin Zam Zam, 57, berkata, beliau mengenali keluarga itu yang sebelum ini pernah keluar dari senarai asnaf selepas berjaya mengubah nasib mereka.

“Bagaimanapun tak lama lepas tu, saya dimaklumkan mereka bercerai dan isteri menjadikan rumah daif di atas tanah pusaka di pinggir hutan itu sebagai tempat berteduh bersama empat anaknya. Difahamkan mereka bergantung kepada air hujan sejak 25 Disember lalu.

“Mungkin disebabkan tekanan emosi, keluarga ini tinggal dalam serba kekurangan dan tiga anaknya tidak bersekolah manakala anak sulungnya pula menghidap sawan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya terpanggil untuk membantu selepas mengenal pasti kesusahan yang dihadapi ibu tunggal itu yang mencari makan hasil sumbangan jiran.

“Ada kala dia memancing ikan untuk dijadikan lauk anak-anak....cukup kasihan keluarga ini sebab duduk di kawasan terpencil dan bimbang dengan keselamatan anak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi meringankan beban keluarga itu katanya, MPKK melalui derma penduduk membantu membaiki sistem pendawaian rumah dan menyambung semula bekalan air bersih.

Katanya, beliau turut mencadangkan ibu tunggal itu tinggal di tempat yang lebih sesuai namun ditolak dengan alasan mahu tinggal di tanah pusaka miliknya.

“Isu tiga anaknya yang tak dapat bersekolah dipanjangkan kepada Ahli Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan ADUN Jeram (Mohd Shaid Rosli) supaya semua urusan dipermudahkan,” katanya.

Saharudin menegaskan, sumbangan itu mengutamakan bantuan persekolahan dan keselamatan anak yang masih bersekolah.

“MPKK berniat hanya untuk bantu sekolahkan dan jaga kebajikan anak kerana masa depan mereka dapat diubah dengan hanya pendidikan.

“Jika masa depan anak berubah, mereka mampu keluar dari kepompong kemiskinan dan emosi. Pada awalnya anak-anak ini murung tapi bila dibantu, Alhamdulillah mereka mampu bercakap dan bercerita," katanya.

Pada pertemuan itu, MPKK dan Pejabat ADUN Jeram bersama bergotong-royong membersihkan kawasan rumah dan menyediakan kelengkapan selain berjanji akan memberi bantuan perubatan untuk anak sulungnya.

Sementara itu, Ahli MDKS Zon 4C Jeram, NV Puspha berkata, pihaknya turut terpanggil membantu keluarga itu dengan membuat permohonan kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi menaikkan semangat tiga beradik itu untuk meneruskan persekolahan.

“Kami bekerjasama dengan Pengerusi MPKK dan Pejabat ADUN Jeram supaya dapat pastikan tiga beradik ini dapat belajar semula seperti orang lain selain memastikan keperluan lain mencukupi,” katanya.