X

Kindly register in order to view this article
!

Adakah warga London akan kekalkan Datuk Bandar beragama Islam?

Datuk Bandar London, Sadiq Khan (kanan) merupakan Muslim pertama dipilih memegang jawatan Datuk Bandar London pada tahun 2016. - Foto AFP
A
A

WARGA bandar raya London akan memilih sama ada akan mengekalkan tempoh pentadbiran Datuk Bandar, Sadiq Khan dalam pilihan raya bagi menentukan siapa ketua ibu kota United Kingdom (UK) itu pada hari ini.

Sebanyak 20 calon bertanding termasuk Khan, 50, bertanding dalam pilihan raya itu yang sepatutnya diadakan pada Mei tahun lalu tetapi terpaksa ditangguhkan pada tahun ini ekoran pandemik Covid-19 melanda Britain.

Seorang pencabar Datuk Bandar itu ialah Shaun Bailey, 49, daripada parti Konservatif yang berkulit hitam dan mempunyai susur galur keturunan dari Jamaica turut bertanding bagi merebut jawatan tersebut.

Tinjauan-tinjauan pendapat menunjukkan Khan yang mewakili parti Buruh akan dipilih semula buat penggal kedua selepas menjadi Datuk Bandar London selama lima tahun dan menjadi tokoh politik beragama Islam yang pertama memegang jawatan tersebut di negara itu.

Namun, portal berita The Sun melaporkan pada 4 Mei lalu, tinjauan pendapat YouGov mendapati hanya 30 peratus penduduk London berpuas hati dengan kepimpinannya manakala 33 peratus lagi tidak berpuas hati.

Jawatan itu pernah disandang oleh Perdana Menteri Britain, Boris Johnson daripada parti Konservatif pada tahun 2008 hingga 2016 dan antara tugasnya ialah mengawasi bajet sebanyak £17 bilion (RM23.61 bilion) dan rangkaian pengangkutan di London yang merupakan antara terbesar di dunia serta pasukan polis.

Bagaimanapun, beliau tidak bertanding buat penggal ketiga bagi menjadi Datuk Bandar London kerana dipilih menjadi Ahli Parlimen untuk kawasan pilihan raya Uxbridge dan South Ruislip di Greater London pada Mei 2015.

Beliau menjadi Datuk Bandar London melalui pilihan raya pada Mei 2008 selepas menewaskan anggota parti Buruh, Ken Livingstone yang memegang jawatan itu sejak tahun 2000.

Jawatan Datuk Bandar mula dipilih oleh warga London pada tahun 2000 selepas pungutan suara diadakan pada tahun 1998 bagi menentukan sama ada terdapat sokongan terhadap rancangan bagi menubuhkan Pihak Berkuasa Greater London (GLA).

Sebelum jawatan Datuk Bandar London diwujudkan, bandar raya itu ditadbir oleh seorang ketua yang juga ketua Majlis Greater London tetapi majlis tersebut dihapuskan pada tahun 1986 dan digantikan dengan GLA pada tahun 2000.

"Bandar raya ini (penduduk warga London) pada tahun 2016 memilih saya menjadi Datuk Bandar mereka dan ia menunjukkan betapa progresifnya mereka.

"Terdapat satu bakat-bakat politik generasi baharu Britain yang datang daripada pelbagai latar belakang yang saya berpendapat akan mempercepatkan lagi kemajuan pada masa depan," kata Khan yang merupakan anak pemandu bas berketurunan Pakistan kepada AFP.

Khan pernah menjadi peguam hak-hak asasi sebelum beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen di kawasan pilihan raya Tooting di Greater London pada tahun 2005 dan menjadi Datuk Bandar pada tahun 2016.

Ketika berkhidmat sebagai Datuk Bandar London, beliau yang merupakan lulusan undang-undang dari Universiti North London kini dikenali sebagai Universiti Metropolitan London telah memperkenalkan tambang bas hanya sebanyak £1.50 (RM2.80) untuk membuat mana-mana perjalanan termasuk menggunakan rangkaian trem di London.

Pencabar terdekat Khan, Bailey merupakan anak seorang pemandu lori dan pernah membesar di kawasan perumahan awam sama seperti Datuk Bandar London itu.

Calon daripada parti Konservatif, Shaun Bailey turut merebut jawatan Datuk Bandar London. - Foto AFP
Calon daripada parti Konservatif, Shaun Bailey turut merebut jawatan Datuk Bandar London. - Foto AFP

Calon Parti Konservatif itu merupakan lulusan kejuruteraan komputer di Universiti South Bank, London dan anggota badan Perhimpunan London yang memantau tugas-tugas Datuk Bandar London pernah memberitahu bahawa beliau akan menjadi ahli politik berkulit hitam yang paling terkemuka di Eropah jika dipilih memegang jawatan tersebut.

Datuknya berhijrah dari Jamaica ke London pada lewat tahun 1940-an sebagai sebahagian daripada generasi imigran Caribbean dan Asia Selatan membina semula London selepas teruk dibedil oleh tentera Jerman dalam Perang Dunia Kedua.

Seorang profesor sejarah politik di Universiti Nottingham, Steven Fielding berkata kepada AFP adalah tidak mengejutkan jika parti Konservatif memilih calon minoriti selepas kalahnya calon kulit putih, Zac Goldsmith kepada Khan pada pilihan raya Datuk Bandar pada tahun 2016.

Menurutnya, pemilihan Bailey itu mungkin akan menjadikan parti tersebut lebih bersifat liberal.

Terdapat hampir 1.26 juta penduduk Muslim yang tinggal di London yang mewakili 14.2 peratus daripada penduduk di bandar raya itu berdasarkan perangkaan pada tahun 2018 seperti yang dilaporkan oleh portal berita The Sun.

Menurut Pejabat Statistik Kebangsaan UK, penduduk Muslim di England telah melebihi tiga juta orang pada tahun 2019 dengan sebahagian kawasan di London mempunyai hampir 50 peratus penduduk Islam.

Berdasarkan bancian yang dibuat pada tahun 2011, penduduk kulit putih yang tinggal di London menjadi minoriti dengan jumlahnya adalah 45 peratus daripada penduduk di bandar raya tersebut. - Agensi


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!