X

Kindly register in order to view this article
!

'Tak perlu gerun keputusan ASTAF'

Ahmad
A
A

PRESIDEN Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail tidak risau dengan keputusan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) menjatuhkan hukuman gantung 15 tahun kepadanya daripada sebarang aktiviti sukan tersebut yang berkuat kuasa pada Khamis.

Menurut Ahmad, beliau juga tidak akan membuat sebarang komen lanjut dalam masa terdekat selain mengharapkan semua pihak bersabar dan menunggu keputusan daripada mahkamah.

"Sebenarnya dalam Bulan Ramadan ini, saya sememangnya tidak mahu membuat sebarang komen demi mahu menjaga kemuliaan Ramadan dan saya tidak mahu mencalarkan amal-amal di dalam bulan yang mulia ini.

"Bagaimanapun, atas desakan ramai termasuk sahabat-sahabat saya bahawa saya perlu juga buat kenyataan media sekali sahaja, maka saya sudah buat pada minggu yang lalu.

"Saya tidak rela untuk mencalar bulan yang penuh barokah ini. Maka saya tidak akan buat sebarang kenyataan pada waktu ini. Saya bersedia membuat kenyataan media selepas saya Menyambut Hari Raya Enam kelak.

"Namun, apa yang dapat saya katakan pada ketika ini ialah kita tidak perlu gerun mendengar keputusan yang dibuat oleh ASTAF. Tunggulah keputusan Mahkamah kerana itu lebih wajar dan lebih tepat lagi.Biarlah mereka mendendangkan lagu apa pun jua pada ketika ini, nasihat saya, kita tidak perlu menari mengikut rentak mereka.

"Kita ada cara kita iaitu undang-undang mahkamah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ahmad
Ahmad

Pada Rabu, ASTAF telah menjatuhkan hukuman kepada Ahmad selepas satu Sidang Disiplin Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAFDP) secara maya yang dihadiri wakil dari tujuh negara seperti India, Iran, Jepun dan Pakistan.

Malah, ASTAF turut memerintahkan Ahmad atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Mat membayar kepada ASTAF AS$25,000 (RM102,937) bagi menampung kos perbicaraan panel tatatertib berkenaan dan jika gagal hukuman gantung tersebut akan ditambah dua tahun lagi.

Ahmad didapati bersalah dalam empat pertuduhan termasuk pelanggaran Artikel 5.5 undang-undang ASTAF iaitu menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa untuk meminta campur tangan keputusan pemilihan Kongres Astaf pada 1 Mac lalu.

Ahmad yang tidak hadir pada perbicaraan tersebut juga diberikan 14 hari untuk membuat rayuan terhadap hukuman itu dan jika rayuannya gagal, dia perlu membayar ganti rugi dalam masa 14 hari dari notis terakhir yang dikeluarkan oleh ASTAF.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!