Real kembali fokus pertahan trofi La Liga

Zinedine Zidane
Zinedine Zidane
A
A
A

REAL Madrid kembali memberi fokus mempertahankan trofi La Liga selepas tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara susulan kekalahan 1-3 secara agregat kepada Chelsea pada aksi separuh akhir.

Pengendali Real, Zinedine Zidane berkata, trofi La Liga kini menjadi satu-satunya gelaran yang diburu Los Blancos musim ini selepas mereka turut tersingkir di peringkat separuh akhir Piala Raja Sepanyol dan Piala Super Sepanyol.

“Kami masih ada empat perlawanan dalam saingan La Liga. Kami akan berehat seketika dan kemudian akan memberikan fokus kepada keempat-empat perlawanan tersebut.

“Namun, seperti yang pernah saya katakan, saya tetap berbangga dengan pemain-pemain saya kerana mereka telah menemui jalan yang dicari dengan segala kepayahan yang dialami.

“Kami juga sepatutnya mengucapkan tahniah kepada diri sendiri kerana mampu sampai ke tahap ini (separuh akhir Liga Juara-Juara) dan hanya selangkah lagi untuk ke final,” katanya.

Selepas sekadar seri 1-1 pada aksi separuh akhir pertama di Madrid minggu lalu, Real terpaksa akur tewas 0-2 kepada The Blues dalam aksi timba balik di Stamford Bridge awal pagi Khamis.

Kekalahan 1-3 secara agregat itu meranapkan impian Rea untuk kembali mendakap trofi Liga Juara-Juara, sekali gus menimbulkan tanda tanda mengenai masa depan Zidane.

Bagaimanapun, Zidane yang pernah membantu Los Blancos muncul juara Eropah dalam tiga edisi berturut-turut tidak dapat memberikan sebarang kenyataan berhubung kariernya bersama gergasi Sepanyol itu.

Artikel Berkaitan:

“Saya belum fikirkan apa-apa lagi ketika ini. Bukan saja kepada pasukan, malah ini juga adalah malam yang cukup mengecewakan kepada penyokong kami.

“Sudah tentu kami tidak mahu mengakhiri saingan musim ini tanpa sebarang kejuaraan. Saya harap kami dapat menebus kekecewaan ini dengan menjuarai La Liga,” jelasnya.