Suami isteri didakwa cederakan pelajar tahfiz

Norizan (kiri), Muhammad (kanan) didakwa di Mahkamah Majistret Ampang pada Khamis atas pertuduhan mencederakan pelajar lelaki berusia tujuh tahun, dua bulan lalu.
Norizan (kiri), Muhammad (kanan) didakwa di Mahkamah Majistret Ampang pada Khamis atas pertuduhan mencederakan pelajar lelaki berusia tujuh tahun, dua bulan lalu.
A
A
A

AMPANG - Pasangan suami isteri yang juga pengurus tahfiz didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan mencederakan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dua bulan lalu.

Tertuduh, Norizan Yahaya, 52, dan suaminya, Muhammad Yaqoob, 32, yang juga warga Pakistan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan dua majistret berasingan.

Di hadapan Majistret Farah Nasihah Annuar, Norizan didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa di sebuah pusat tahfiz di Taman Tun Abdul Razak di sini antara 9 hingga 23 Mac.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Sementara di hadapan Majistret Normaizan Rahim, Muhammad didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera dengan menggunakan rotan terhadap mangsa sama di lokasi dan tarikh sama.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau sebat atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shazwani Abdullah dan Suriantiazila Muhamad manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Dony Abdullah.

Mahkamah kemudian membenarkan Norizan diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara bagi Muhammad dibenar untuk diikat jamin sebanyak RM5,000 oleh dua penjamin warga tempatan dan memenuhi syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis sekali sebulan dan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 18 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis selamatkan 8 pelajar pusat tahfiz dakwa didera

Pada 27 April lalu, Sinar Harian melaporkan, polis menyelamatkan lapan pelajar lelaki berusia antara tujuh hingga 15 tahun di sebuah pusat tahfiz di Taman Tun Abdul Razak di sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya turut menahan sepasang suami isteri berusia 32 dan 52 tahun, pada jam 3.45 petang.