Ibu tunggal didakwa atas 19 pertuduhan pengubahan wang haram

Mei Lin (dua dari kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas 19 pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM1juta.
Mei Lin (dua dari kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas 19 pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM1juta.
A
A
A

MELAKA - Seorang ahli perniagaan berstatus ibu tunggal didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini pada Khamis atas 19 pertuduhan melakukan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah hampir RM1 juta.

Tertuduh, Loo Mei Lin, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah menggunakan satu nombor akaun sebagai peralatan kesalahan berkaitan aktiviti haram.

Dalam pertuduhan dua hingga tujuh, Mei Lin didakwa menerima wang dengan jumlah keseluruhan RM962,845.21 yang merupakan hasil aktiviti haram melalui akaun miliknya daripada mangsa, Teh Eet Meng, 55.

Di hadapan Maziah Joary, bagi pertuduhan lapan sehingga 19, dia turut didakwa menggunakan wang berjumlah keseluruhan RM273,255.84 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram untuk membayar kad kredit OCBC Bank, Public Bank, RHB Bank dan HSBC Amanah Malaysia Berhad miliknya serta membeli polisi-polisi insurans atas nama ahli keluarganya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di sekitar daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah pada 29 Disember 2014 sehingga 30 Julai 2015.

Tertuduh yang mempunyai tiga orang anak didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh dikenakan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau peralatan kesalahan pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Zainal yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM60,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan tidak boleh mengganggu mangsa.

Tertuduh yang diwakili peguam bela, Micheal Tan bagaimanapun merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya berdepan dengan dua pertuduhan lain selain menjadi ibu tunggal kepada tiga orang anak sejak 20 tahun lalu.

Maziah Joary kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 bagi kesemua pertuduhan serta membenarkan semua syarat tambahan dan menegaskan jaminan itu akan ditarik balik serta-merta sekiranya tertuduh didapati mengganggu mangsa.

Mahkamah turut menetapkan 4 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.