Sejam intip dua lelaki punggah 800kg ketum

PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor berjaya menahan lima individu yang cuba menyeludup 800kg ketum bernilai RM80,000 di Kampung Genting, Pengkalan Kubor, Tumpat pada Rabu.
PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor berjaya menahan lima individu yang cuba menyeludup 800kg ketum bernilai RM80,000 di Kampung Genting, Pengkalan Kubor, Tumpat pada Rabu.
A
A
A

TUMPAT - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor berjaya menahan lima individu yang cuba menyeludup 800 kilogram (kg) ketum bernilai RM80,000 di Kampung Genting, Pengkalan Kubor pada Rabu.

Komander Pasukan PPM Wilayah Tiga Kuantan, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, kejayaan itu hasil intipan selama sejam dilakukan oleh pihaknya dan telah menahan dua lelaki yang sedang memunggah bungkusan ketum dari sebuah rumah ke dalam kenderaan terdapat di situ.

"Hasil pemeriksaan kami menjumpai 11 bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum.

"Kemudian pihak kami memeriksa rumah tersebut dan berjaya menahan seorang lelaki serta dua wanita," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut PPM Wilayah Tiga menjumpai 2,982 bungkusan plastik daun ketum yang diikat menggunakan getah.

Beliau berkata, selain itu terdapat daun ketum bertaburan atas lantai di ruang tamu, ruang bilik tidur dan juga dapur.

Katanya, kesemua barangan rampasan dan suspek yang berusia antara 20 hingga 30-an itu dibawa ke Markas Operasi PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut.

"Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM90,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Artikel Berkaitan: