Prabudass catat rekod baharu kebangsaan acara separuh maraton

Prabudass
Prabudass
A
A
A

ATLET jarak jauh negara, K Prabudass melakarkan rekod baharu kebangsaan acara separuh maraton selepas mencatat satu jam tujuh minit di Festival Maraton Hokkaido-Sapporo 2021 di Jepun hari ini.

Atlet berusia 31 tahun dari Negeri Sembilan itu menamatkan saingan di tempat ke-49 keseluruhan, 29 saat mengatasi rekod kebangsaan yang dilakukannya di Maraton Gold Coast ke-41 di Australia pada 7 Julai 2019 iaitu 1:07:29s.

Di Gold Coast, Prabudass yang juga seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia itu memecahkan rekod berusia 15 tahun apabila menamatkan saingan di tempat ke-29, mengatasi rekod lama milik pelari M Arul Thevar, 1:07:59s yang dilakukan di Ipoh pada 4 Julai 2004.

Prabudass jelas gembira dengan rekod baharu yang dicatatkannya buat pertama kali setelah tidak menyertai kejohanan sejak Disember 2019 dan keadaannya yang baru pulih daripada demam virus kira-kira sebulan lepas menyebabkan beliau tidak dapat menyertai Grand Prix (GP) Malaysia pada 10 hingga 11 April lalu.

“Saya sangat gembira dengan pencapaian ini, selepas melakukan persiapan dalam tempoh singkat dua minggu kerana dimasukkan ke hospital. Pada awalnya, saya hanya mahu lakukan yang terbaik untuk menamatkan perlumbaan kerana saya terpaksa berlumba dalam angin kencang dan cuaca sejuk di sini.

“Agak mencabar berlari dalam keadaan berangin; saya berhenti dua kali kerana kekejangan...betis kanan kekejangan ketika 13km dan kemudiannya kedua-dua betis kejang pada 19 km, tapi saya gembira dapat menamatkan perlumbaan dengan catatan rekod baharu,” katanya ketika dihubungi di Sapporo.

Jelas Prabudass, beliau sempat melakukan latihan di sekitar kawasan hotel kira-kira seminggu sejak tiba di Jepun berikutan acara maraton itu dijalankan mengikut gelembung sukan ketat susulan peningkatan kes Covid-19.

“Saya hanya berlari di kaki lima hotel, kira-kira 100m jaraknya untuk beberapa jam setiap hari. Kami bukan sahaja tidak dibenarkan keluar daripada hotel, malah ke venue juga perlu menggunakan kenderaan disediakan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pemenang pingat perak acara 5,000m Sukan SEA 2017 itu, mengalih tumpuan kepada acara trek untuk melayakkan diri ke Sukan SEA Hanoi dijadualkan pada hujung tahun ini, yang mana beliau berharap untuk bertanding dalam acara 5,000m dan 10,000m. - Bernama