X

Kindly register in order to view this article
!

Hanya mampu bertahan tiga tahun lagi

Penggunaan tanah di Tapak pelupusan sampah di Pekan Nanas, Pontian dan Jemaluang, Mersing hampir mencapai maksimum. - Foto Bernama
A
A

JOHOR BAHRU - Tapak pelupusan sampah di Pekan Nanas, Pontian dan Jemaluang, Mersing yang menjangkau lebih 25 tahun dijangka hanya mampu bertahan untuk tempoh tiga tahun lagi berikutan penggunaan tanah yang hampir mencapai maksimum.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor, Cairul Hisham Jalaluddin berkata, pelbagai langkah dilaksanakan bagi memanjangkan jangka hayat dan mengurangkan penggunaan tanah di kedua-dua tapak berkenaan termasuk membangunkan kemudahan baharu yang dapat menukar sisa buangan kepada tenaga.

"Walaupun tempoh jangka hayat bagi dua tapak pelupusan sampah berkenaan dijangka sehingga 2024, namun ia belum mencapai tahap kritikal dan masih boleh diuruskan dengan baik.

"Malah kini SWCorp sedang rancak melaksanakan Kempen Pengasingan Sisa Di Punca (SAS) yang merupakan antara cara mengurangkan sisa pepejal yang dijanakan di rumah daripada dihantar terus ke tapak pelupusan," katanya pada sidang akhbar selepas majlis berbuka puasa bersama-sama rakan media di sini malam Rabu.

Sementara itu, beliau berkata, tapak pelupusan sampah baharu di Bukit Payung, Batu Pahat yang dibina di tanah seluas 42.18 hektar dijangka beroperasi menjelang suku ketiga tahun ini, selain SWCorp merancang untuk membuka dua lagi pusat pemindahan sampah di Pontian dan Muar.

Johor mempunyai lapan tapak pelupusan sampah iaitu Pekan Nanas, Jemaluang, Batu Empat, Buloh Kasap, Moakil, Seelong, Tanjung Langsat dan Bandar Penawar.

Sementara itu, Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment), Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, seramai 4,586 kakitangan syarikat konsesi sisa pepejal dan pembersihan awam itu akan bertugas mengutip sampah mengikut jadual bermula 8 hingga 15 Mei ini.

Menurutnya, operasi pengutipan sampah membabitkan 907 jentera pelbagai kegunaan itu akan tertumpu di 40 lokasi panas yang mencatatkan pembuangan sisa pepejal tertinggi.

Purata kutipan sisa pepejal oleh SWCorp sepanjang perayaan Aidilfitri pada tahun lalu adalah sebanyak 2,472 tan metrik sehari, berbanding 2,642 tan metrik pada 2019 dengan pembuangan sisa makanan menjadi penyumbang terbesar. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!