X

Kindly register in order to view this article
!

Utama rakyat tempatan jika gaji minimum dipertingkat

Ahmad Zahid
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan digesa mengutamakan rakyat tempatan jika perintah gaji minimum dipertingkatkan bagi memberi peluang mereka mengisi ruang pengangguran sedia ada.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya menyokong sekiranya benar kerajaan dapat meningkatkan gaji minimum semaksimum yang boleh memandangkan rakyat sedia terbeban dengan kos sara hidup ketika ini.

“Namun perlu diingat peningkatan gaji minimum bakal mengundang lebih ramai pekerja dari luar yang mahu mendapatkan tawaran gaji lumayan.

“Andai itu dilaksanakan saya berharap kerajaan mengutamakan rakyat tempatan. Pastikan mereka merebut peluang ini dengan mengisi ruang pengangguran sedia ada,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Lagipun katanya, baru-baru ini ada seorang menteri menyatakan ekonomi Malaysia dalam keadaan stabil, banyak pelaburan langsung asing (FDI) berjaya dibawa masuk, maka ia adalah masa bersesuaian untuk meningkatkan pendapatan rakyat.

Menurutnya, berdasarkan gaji minimum dilaksanakan ketika ini, bayaran RM1,200 dibuat di 57 majlis bandar raya dan majlis perbandaran di seluruh negara dan bagi kawasan selain wilayah bandar utama, kadar gaji minimum kekal pada bayaran RM1,100.

“Menetapkan gaji minimum pada kadar semaksimum mungkin bukan mudah kerana terdapat banyak halangan daripada pihak swasta.

“Majikan swasta terutama pengilang enggan memberikan gaji minimum kerana mereka boleh mendapatkan pekerja asing dengan mudah dan murah.

“Mereka juga mengugut memindahkan pelaburan ke luar negara dengan situasi ini seringkali berlaku di negara-negara yang sedang membangun,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, pernah ada sebuah gabungan parti politik memberi tawaran untuk meningkatkan gaji minimum sehingga RM1,500 dan janji-janji itu dijadikan modal untuk menewaskan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Tetapi apabila memerintah, janji hanya tinggal janji. Ramai yang belum lupa dengan janji itu, dan ramai juga yang termakan dengan janji tersebut.

“Sekitar tahun 1980-an seorang menteri turut melaungkan insentif buruh murah untuk menarik kehadiran pelabur seperti Motorola, Robert Bosch, Western Digital dan National Semiconductor.

“Pada masa itu kesatuan sekerja tidak dibenarkan untuk ditubuhkan. Jika dibenarkan, saya percaya kesatuan itu akan mengadakan demonstrasi di Parlimen,” katanya.

Apa- apa pun katanya, dalam kesibukan membincangkan mengenai gaji minimum kita lupa mengenai gaji seorang menteri.

“Rekod memperlihatkan gaji timbalan menteri dan menteri adalah sekitar RM30,000 hingga RM60,000 sebulan. Sewaktu Ordinan Darurat dilaksanakan ada kalanya kita tidak dapat melihat menteri dan timbalan menteri berkenaan.

“Maklumlah Parlimen tidak bersidang. Mereka semua sibuk turun padang berjumpa rakyat dan bukan bercuti," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!