PKMM minta kerajaan laksana VOP, ringankan beban kontraktor

Mohamed Fadzill Hassan (berdiri, kanan) menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan asas pada Majlis Penyampaian Sumbangan Sempena Sambutan Aidilfitri, pada Rabu. - Foto Bernama (2021) Hak Cipta Terpelihara.
Mohamed Fadzill Hassan (berdiri, kanan) menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan asas pada Majlis Penyampaian Sumbangan Sempena Sambutan Aidilfitri, pada Rabu. - Foto Bernama (2021) Hak Cipta Terpelihara.
A
A
A

BALIK PULAU - Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) memohon kerajaan melaksanakan klausa perubahan harga (VOP) bagi meringankan beban kontraktor yang terkesan dengan kenaikan ketara harga bahan binaan, terutama dalam tempoh pandemik Covid-19 yang sedang melanda.

Presidennya, Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan berkata, pihaknya telah mengadakan mesyuarat dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada 4 April lalu dengan harapan kerajaan menyegerakan pelaksanaan VOP yang dilihat mampu mengekalkan kontraktor kecil bumiputera dalam industri.

“Perdana Menteri secara lisan bersetuju dengan cadangan tersebut, malah pihak kami juga menyertakan surat kepada beliau...cuma kita nak tunggu pelaksanaan oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri PKMM Pulau Pinang di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau tidak dinafikan situasi pandemik menyebabkan projek semakin berkurangan dan pihaknya menerima keluhan yang kebanyakannya daripada kontraktor kelas G1 dan G2.

"Antara sebab kenaikan harga bahan binaan adalah kebanyakan kuari khususnya di negeri ini telah menutup operasi sehingga memberi kesan dalam penawaran dan permintaan sumber tersebut.

“Masalah kuari di Pulau Pinang banyak yang tutup, bila kuari tutup macam mana hendak keluarkan batu bata untuk bancuh simen dan ini menyebabkan berlakunya kenaikan harga terhadap bahan itu," katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Fadzill turut menyambut baik saranan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) pada 3 Mei lalu agar klausa VOP dilaksanakan bagi projek pembinaan kerajaan untuk mengurangkan beban kontraktor yang terjejas akibat kenaikan harga bahan binaan.

Sebelum itu, beliau menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan asas kepada 30 orang golongan asnaf, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) sempena hari raya yang akan diraikan minggu depan. - Bernama

Artikel Berkaitan: