Pintas Utama serah zakat perniagaan kepada LZS

Sebahagian sumbangan berbentuk barangan keperluan disampaikan kepada anak-anak yatim dan asnaf.
Sebahagian sumbangan berbentuk barangan keperluan disampaikan kepada anak-anak yatim dan asnaf.
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat Pintas Utama Sdn Bhd (Pintas Utama) telah menunaikan tanggungjawabnya menyerahkan zakat perniagaan kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada 28 April lalu.

Zakat perniagaan itu diserahkan Pengerusi Eksekutif Pintas Utama, Tan Sri Ir Zainudin Karjan kepada LZS diwakili, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Pada Majlis itu, Sultan Sharafuddin turut meluangkan masa mencemar duli berbuka bersama-sama di masjid berkenaan.

Baginda turut menunaikan solat fardu Maghrib, Isyak dan solat sunat tarawih secara berjemaah sebelum berangkat pulang selepas menikmati santapan selesai solat tarawih.

Zainudin berkata, Pintas Utama yang menyediakan kepakaran kejuruteraan awam bagi kerja-kerja pembinaan jalan, cerun, kerja berkaitan tanah dan pembentungan telah membuktikan komitmen syarikat yang menggalakkan syiar Islam di negara ini.

“Selain itu, ia menunjukkan antara elemen keberkatan rezeki berdasarkan kejayaan syarikat dalam pelaksanaan kerja-kerja pembinaan dan penambahbaikan cerun,” ujarnya.

Zainuddin (dua dari kiri) menyerahkan zakat perniagaan kepada Sultan Sharafuddin (kanan) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Zainuddin (dua dari kiri) menyerahkan zakat perniagaan kepada Sultan Sharafuddin (kanan) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Zainudin berkata, meskipun negara berdepan cabaran pandemik Covid-19 ketika ini, amalan sedekah tidak seharusnya dilupakan begitu sahaja.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, sempena Ramadan yang penuh berkat, semua kerja amal dan sumbangan syarikat dijalankan melalui Yayasan Pintas Utama (YPU).

Jelas beliau, segala program infak Ramadan yang dilaksanakan itu sebagai salah satu usaha dalam menggalakkan semangat bersedekah terutama kepada mereka yang kurang bernasib baik.

“Bagi program ini, Pintas Utama menghulurkan sumbangan wang tunai kepada lima rumah kebajikan terpilih melibatkan empat zon di semenanjung Malaysia.

“Selain itu, kami memberikan pelbagai barangan keperluan seperti set cadar, tuala mandi, beg sekolah dan variasi makanan serta minuman,” kata Zainudin.

Jelas beliau, bantuan wang tunai dan barang keperluan itu sedikit sebanyak dapat memberikan keceriaan kepada penghuni-penghuni rumah kebajikan tersebut selain bersama-sama meraikan kemeriahan Ramadan dan Syawal yang bakal menjelang.

"Tambahan pula, dalam tempoh yang cukup mencabar ini, rumah-rumah kebajikan ini berdepan pelbagai kekangan dan ia menjadi tanggungjawab Pintas Utama untuk membantu meringankan bebanan selain menzahirkan kasih sayang serta mengeratkan jalinan silaturahim dengan masyarakat kurang berkemampuan.

“Menerusi program ini, ia membantu menggalakkan penglibatan menyeluruh daripada semua pihak termasuk agensi kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), persatuan dan pertubuhan serta individu bagi menginfakkan sumbangan dalam bentuk barangan, tenaga, masa dan kepakaran," katanya.

Wakil JKR Negeri Pulau Pinang, JKR Daerah Timur Laut dan JKR Daerah Barat Daya bersama wakil Pintas Utama menyampaikan sumbangan kepada Pengasas Rumah Jagaan Nasyiatul Aisyiyah di Balik Pulau, Pulau Pinang.
Wakil JKR Negeri Pulau Pinang, JKR Daerah Timur Laut dan JKR Daerah Barat Daya bersama wakil Pintas Utama menyampaikan sumbangan kepada Pengasas Rumah Jagaan Nasyiatul Aisyiyah di Balik Pulau, Pulau Pinang.

Bagaimanapun, katanya, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti itu tidak akan terhenti kerana Pintas Utama komited untuk berkongsi rezeki bagi memastikan tiada insan-insan kurang berkemampuan tercicir dalam kerja-kerja amal yang dilaksanakan YPU.

Selain itu, katanya, Pintas Utama juga tidak ketinggalan menjalinkan hubungan lebih akrab dengan pihak JKR daerah di luar pada luar waktu bekerja bagi bersama-sama memupuk semangat bertimbang rasa dan menjadi warga prihatin terhadap komuniti dan organisasi di negara ini.

"Program pertama Infak Ramadan Pintas Utama dimulakan dengan Pertubuhan Dar Asnaf Alfateeh Alidrisiah di Gombak, Selangor pada 19 April lalu. Majlis ini dihadiri oleh wakil JKR Daerah Gombak dan wakil Pintas Utama Zon Tengah.

"Wakil Pintas Utama dan wakil JKR turut melawat kawasan persekitaran dan akan membantu dalam khidmat nasihat keselamatan dan infrastruktur rumah kebajikan ini," katanya.

Menurut Zainudin, pihaknya kemudian mengadakan sesi ziarah di zon selatan dihadiri wakil JKR Melaka, wakil JKR Daerah Alor Gajah dan Pintas Utama Zon Selatan dengan memilih Pertubuhan Anak-Anak Harapan di Melaka pada 22 April lalu.

"Pertubuhan Anak-Anak Harapan ini terdiri daripada 30 kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia lingkungan empat hingga enam tahun.

"Pada 28 April lalu, Infak Ramadan Pintas Utama memilih Pusat jagaan Nasyiatul Aisyiyah, Balik Pulau, Pulau Pinang yang dihadiri wakil JKR Pulau Pinang, wakil JKR Daerah Barat Daya, wakil JKR Daerah Timur Laut dan wakil Pintas Utama Zon Utara.

"Pusat ini menempatkan anak-anak yatim serta asnaf, diasaskan oleh Ustazah Rohani yang diselia bersama dua orang pembantu yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal kebajikan anak-anak ni," katanya.

Beliau memberitahu, program Infak Ramadan diteruskan pada 3 Mei lalu di zon pantai timur melibatkan dua buah rumah kebajikan di Kemaman, Terengganu iaitu Rumah Kebajikan Anak-anak Yatim Al-Hijrah, Taman Perdana Binjai dan Rumah Anak Yatim dan Asnaf Huzai, Kampung Jong Belaboh, Kemamam yang dihadiri wakil JKR Kemaman dan wakil Pintas Utama Zon Timur.

"Menerusi kerja-kerja kebajikan ini, Pintas Utama bukan sahaja memberikan inspirasi dalam pembinaan atau penambahbaikan cerun-cerun di Malaysia tetapi mencipta aspirasi dengan menyantuni golongan memerlukan sepanjang masa.

"Justeru, Pintas Utama sentiasa bersedia untuk menyokong usaha-usaha kerajaan dan pihak-pihak lain yang mahu menggalakkan aktiviti kebajikan bukan sahaja pada bulan Ramadan tetapi bulan-bulan lain.

"Kerja-kerja amal seperti ini wajar dilaksanakan secara berterusan kerana manfaatnya cukup besar malah ia membuktikan tiada perbezaan jurang dalam kalangan masyarakat.