X

Kindly register in order to view this article
!

'Tugas belum selesai'

Tuchel meraikan kejayaan mara ke final dengan pemain The Blues, Reece James dalam aksi timbal balik di Stamford Bridge.
A
A

PENGENDALI Chelsea, Thomas Tuchel tidak mahu pemainnya hilang fokus mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara selepas menewaskan Real Madrid 3-1 secara agregat pada aksi timbal balik di Stamford Bridge pada awal pagi Khamis.

Menurutnya, perjalanan masih berliku untuk The Blues apatah lagi perlu mengharungi dua perlawanan akhir iaitu Liga Juara-Juara dan Piala FA yang sudah pasti menuntut komitmen tinggi daripada pemain.

"Kami tidak pernah berputus asa dan tidak boleh hilang fokus selepas mara ke perlawanan akhir ini. Kami sentiasa positif dan tidak pernah rasa menyesal dengan setiap tindakan kami, jadi ia sangat menakjubkan untuk mara ke perlawanan akhir.

"Tugas ini masih belum selesai apatah lagi kami sedang berada dalam dua perlawanan akhir dan pengorbanan individu saya yang terpaksa meninggalkan keluarga di Jerman untuk melatih Chelsea membuahkan hasil," katanya.

The Blues mara ke perlawanan akhir buat kali ketiga dalam sejarah kelab itu dan akan menentang Manchester City di Stadium Olimpik Ataturk, Istanbul pada 29 Mei ini.

Malah, Chelsea juga akan berdepan Leicester City pada perlawanan akhir Piala FA pada 15 Mei ini dan Tuchel berharap rekod baiknya yang hanya tewas dua kali daripada 24 perlawanan bersama Chelsea setakat ini akan dapat diteruskan dalam dua perlawanan akhir tersebut.

Dalam pada itu, Tuchel tidak melihat pasukannya memiliki kelebihan walaupun pernah menang ke atas City pada aksi separuh akhir Piala FA selain akan berdepan lawan sama pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad sebelum bertemu sekali lagi dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara.

"Ia tidak memberikan kelebihan kerana kita tahu City merupakan pasukan yang kuat. Namun, ia memberikan perasaan yang bagus dan memberikan keyakinan kepada kami. Kami pernah bermain perlawanan separuh akhir menentang mereka dan kami menang.

"Saya pernah katakan sebelum ini bahawa City adalah penanda aras sebuah pasukan yang kuat. Kami mahu merapatkan jurang dalam perlawanan dab kami lakukan dengan prestasi yang sangat mengagumkan dan kami akan memerlukan tahap prestasi yang sama sekali lagi.

"Ini memberi kami kepercayaan untuk setiap pertandingan kerana ini adalah peringkat tertinggi yang dapat anda hadapi. Kami akan hadir dengan semangat dan kekuatan positif di Istanbul. Kami akan tiba di Istanbul untuk menang dan bukan hanya menjadi salah satu peserta," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!