KPM: Bantuan diesel 21 sekolah Sarawak tak terjejas

Dr Maszlee Malik
Dr Maszlee Malik
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi jaminan bantuan diesel kepada 21 Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) di Sarawak mulai April ini tidak akan terputus dan akan diterima seperti biasa.

Kementerian itu berkata, bagi menjamin operasi sekolah tidak terjejas, pihaknya akan memastikan bekalan diesel ke sekolah-sekolah terlibat tetap diteruskan.

"Oleh itu laporan yang mengatakan sekolah-sekolah terbabit akan terputus bekalan diesel mulai April 2019 adalah tidak benar," kata kementerian itu susulan laporan media yang mengatakan bantuan bekalan diesel akan dihentikan di akhir bulan depan.

Pada Sabtu lalu, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Michael Manyin berkata, pihaknya yakin kementerian pendidikan akan terus menyediakan bekalan diesel kepada 21 buah sekolah Cina dan mubaligh di negeri itu.

Katanya, beliau telah membuat rayuan itu kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik ketika 1 pertemuan di Putrajaya pada Jumaat lalu.

"Setakat ini respons adalah positif dan saya sangsi kerajaan persekutuan akan menghentikan bantuan bekalan diesel kepada sekolah-sekolah ini," kata beliau.

Laporan media sebelum ini menyebut bantuan bekalan diesel kepada sekolah-sekolah terbabit akan dihentikan mulai April ini.

Kementerian pendidikan dalam kenyataan itu juga berkata, pada bulan Mac tahun lepas, semakan semula kontrak telah dibuat oleh KPM bagi menentusahkan sekolah-sekolah yang layak bagi mendapatkan bekalan diesel menggunakan peruntukan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Didapati 21 daripada 369 buah sekolah tersebut merupakan SBK," katanya.

Namun demikian, KPM memutuskan untuk meneruskan pembelian diesel bagi 21 sekolah tersebut menggunakan sepenuhnya peruntukan sedia ada sehingga Mac 2019.

"Ini memandangkan 21 buah sekolah tersebut terletak di kawasan pedalaman yang tidak mendapat bekalan elektrik awam daripada talian grid.

"Sehubungan ini, bagi memastikan operasi sekolah tidak terjejas, KPM akan memastikan bekalan diesel ke sekolah-sekolah terlibat tetap diteruskan," kata beliau.