Pemilik, pelanggan pusat hiburan degil dikompaun RM470,000

Seramai 90 individu terdiri daripada pelanggan dan pemilik sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur itu dikompaun dalam operasi yang dijalankan pada Khamis.
Seramai 90 individu terdiri daripada pelanggan dan pemilik sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur itu dikompaun dalam operasi yang dijalankan pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kedegilan sebuah pusat hiburan di sini beroperasi dan mengingkari prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membawa padah apabila seramai 90 pelanggan dan pemilik pusat hiburan itu dikompaun RM470,000 pada Khamis.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob berkata, serbuan di pusat hiburan tersebut melibatkan seramai 15 pegawai dan 20 anggota polis.

"Tindakan kompaun dikeluarkan terhadap 51 lelaki dan 39 wanita atas kesalahan Seksyen 31, Peraturan 18 P.U(A) 97/2021 (PKPB) Hadir/Terlibat Dalam Aktiviti Hiburan Di Kelab Malam/Pub (Aktiviti Terlarang).

"Anggaran kompaun yang dikeluarkan kepada pemilik premis (kesalahan berulang) dan kesemua pengunjung pusat hiburan tersebut adalah sebanyak RM470,000," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Katanya, selain itu sebanyak 500 botol minuman keras turut dirampas mengikut kesalahan di bawah Seksyen 76 Akta Eksais 1976 anggaran bernilai RM400,000 dan boleh dilucuthak di bawah Akta Kastam 1976.

"Keseluruhan kompaun bersama rampasan minuman keras adalah sebanyak RM870,000.

"Serbuan seperti ini lebih tegas akan diambil khusus bagi pusat hiburan yang jelas ingkar perintah SOP PKPB dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan bermula Jumaat ini di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi memastikan pematuhan terhadap SOP sentiasa pada tahap yang tinggi," katanya.

Artikel Berkaitan: