X

Kindly register in order to view this article
!

PKP Selangor: Masjid, surau dibenarkan beroperasi dengan jemaah terhad

Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohd Shahzihan Ahmad
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengeluarkan ketetapan baharu bagi bilangan jemaah solat fardu, solat Jumaat dan solat sunat tarawih di masjid dan surau di enam daerah yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ketetapan tersebut berkuatkuasa mulai Khamis hingga 17 Mei atau hingga ketetapan baharu lain dikeluarkan mengikut keadaan semasa.

Menurutnya, bilangan jemaah untuk solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dihadkan kepada 500 orang jemaah termasuk pentadbir, manakala solat fardu hanya 200 jemaah dan solat tarawih hanya 500 jemaah muslimin serta 100 muslimat termasuk pentadbir.

"Bagi Masjid Tengku Ampuan Jemaah, hanya 500 orang jemaah termasuk pentadbir, manakala solat fardu hanya 200 jemaah dan solat tawarih hanya 500 jemaah muslimin serta 50 muslimat termasuk pentadbir.

"Seterusnya, hanya 100 jemaah termasuk pentadbir dibenarkan solat di masjid pengurusan dan masjid kariah untuk ketiga-tiga solat tersebut.

"Seramai 200 jemaah termasuk pentadbir dibenarkan solat di masjid institusi, 50 jemaah termasuk pentadbir di surau solat Jumaat untuk ketiga-tiga solat tersebut dan 50 jemaah di surau kariah bagi solat fardu lima waktu dan solat tarawih," katanya pada Rabu.

Dalam pada itu, Mohd Shahzihan berkata, aktiviti pengkuliahan dan tazkirah dibenarkan dengan syarat tidak memanggil mereka dari luar daerah masjid atau surau berkenaan.

Ujarnya, aktiviti lain seperti qiamullail, solat jenazah, tadarus al-Quran perlu mengikut had jemaah untuk mendirikan solat fardu lima waktu, manakala iftar petugas serta jamuan selepas kuliah tidak boleh melebihi bilangan jawatankuasa masjid dan surau.

"Kutipan zakat fitrah di masjid dan surau oleh amil-amil yang dilantik oleh Lembaga Zakat Selangor perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Pelaksanaan aktiviti di masjid dan mesyuarat jawatankuasa kariah masjid dan surau dibenarkan, namun operasi kiosk dan Mesyuarat Agung Tahunan Masjid atau Surau adalah tidak dibenarkan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shahzihan menjelaskan bahawa ketetapan khusus bagi solat sunat Aidilfitri akan diumumkan oleh pihaknya dalam tempoh terdekat.

Selain itu, katanya, pentadbir masjid dan surau perlu memberi akses kepada ruang solat musafir, pemandu e-hailing, khidmat penghantar makanan dan pemandu kenderaan awam mengikut SOP yang ditetapkan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!