SWM anjak khidmat pembersihan sempena raya

Mohd Norlisam (dua dari kiri) ketika mengumumkan Strategi Operasi SWM Environment sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Majlis Berbuka Puasa bersama Rakan Media Johor di Hotel Trove, di Johor Bahru pada Rabu.
Mohd Norlisam (dua dari kiri) ketika mengumumkan Strategi Operasi SWM Environment sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Majlis Berbuka Puasa bersama Rakan Media Johor di Hotel Trove, di Johor Bahru pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) akan melaksanakan anjakan jadual perkhidmatannya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di 15 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor.

Anjakan itu bermula dari 8 Mei hingga 15 Mei bagi memenuhi keperluan orang ramai membuat persediaan perayaan dengan lancar.

Pengurus Besar Korporatnya, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, seramai 4,586 anggota kerja SWM Environment dengan sokongan sebanyak 907 jentera pelbagai kegunaan telah bersiap sedia bagi melaksanakan strategi operasi tersebut.

Ia termasuk memberi tumpuan khusus di kawasan berkepadatan umat Islam yang tinggi serta di kawasan protokol dan pusat bandar.

“Strategi operasi berbeza dilaksanakan bagi perkhidmatan pembersihan awam dengan operasi sapuan jalan akan beroperasi seperti biasa manakala operasi pemotongan rumput dan pembersihan longkang pula dibuat penjadualan semula untuk dua hari pada 13 dan 14 Mei.

“Seluruh perkhidmatan SWM Environment juga akan kembali beroperasi seperti biasa pada 16 Mei,” katanya pada sidang media Strategi Operasi SWM Environment sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Majlis Berbuka Puasa bersama Rakan Media Johor di Hotel Trove, di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pengarah SWCorp Johor, Cairul Hisham Jalaluddin; Pengurus Operasi Wilayah Johor Selatan, Tam Leong Fon dan Pengurus Operasi Wilayah Johor Utara, Khaw Su Aun.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Tapak Pelupusan Sanitari Seelong (TPSS) dan saluran komunikasi awam SWM Environment yang merangkumi Talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472 dan Talian WhatsApp SWM di 012-618 0082 juga akan beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh pelaksanaan strategi operasi hari raya berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Kita juga mengharapkan orang ramai yang sedang dan bakal membuat persiapan hari raya untuk melaksanakan pengasingan sisa pepejal di punca dan memanfaatkan perkhidmatan kutipan +1 berjadual seminggu sekali bagi melupuskan sisa pukal, sisa kebun dan barangan kitar semula.

“Mereka juga berpeluang mengumpul mata ganjaran daripada barangan kitar semula terkumpul dengan menggunakan aplikasi KITARecycle melalui laman web atau aplikasi mudah alih,” ujarnya.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini dengan menerapkan amalan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) melalui pengurangan janaan sisa terutama sisa makanan.

Selain itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengamalkan penggunaan bekas makanan dan beg guna semula dan melaksanakan kitar semula sepanjang hari raya nanti bagi mengurangkan janaan sisa di hantar ke tapak-tapak pelupusan.