X

Kindly register in order to view this article
!

Laksana ujian pengesanan besar-besaran

Kerajaan disaran melakukan lebih banyak ujian pengesanan Covid-19 dalam komuniti.
A
A

SHAH ALAM - Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak perlu dilaksanakan jika kerajaan melakukan lebih banyak ujian pengesanan Covid-19 secara berkesan.

Menurut Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, langkah kerajaan negeri Selangor yang melakukan ujian dalam komuniti merupakan satu contoh terbaik pada ketika ini.

Jelas beliau, walaupun pendekatan itu menyebabkan jumlah kes di Selangor dicatat lebih tinggi berbanding negeri lain, namun tindakan kuarantin kendiri dapat dilaksanakan segera bagi menghentikan penularan wabak.

“Setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor buat ujian RTK-Antigen. Siapa yang ada gejala atau tidak ada gejala, dan siapa yang mahu jalani ujian, mereka boleh datang dan buat ujian.

“Jadi, kerajaan negeri tahu berapa banyak kes dan bilangan orang yang positif supaya individu ini boleh dikuarantin segera.

“Tindakan itu boleh menghentikan penularan dengan cepat dan berkesan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah kerajaan melaksanakan PKP di enam daerah di Selangor iaitu Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang bermula Khamis sehingga 17 Mei ini.

Zainal Ariffin berkata, individu yang didapati positif perlulah melakukan kuarantin kendiri manakala mereka yang tiada gejala teruk dicadangkan membuat pengumuman secara sukarela kepada semua kontak rapat.

“Contohnya jika seseorang itu positif, dia perlu memaklumkan kepada mereka yang ada berhubungan dengannya dalam tempoh 14 hari sebelumnya agar turut membuat kuarantin kendiri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa kerajaan Persekutuan agar tidak perlu takut sekiranya berlaku peningkatan kes secara mendadak apabila melaksanakan kaedah ujian dalam komuniti.

“Kalau ramai orang didapati positif, masa itu kita ambil tindakan seperti PKP. Jadi, orang pun tahu (sebabnya). Sekarang ini orang tidak tahu, itu masalah kita.

“Kita pun tidak faham sebenarnya kerajaan takut apa? Takut kes banyak atau kes yang ada dalam komuniti,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman menyokong tindakan kerajaan melaksanakan PKP di enam daerah di Selangor.

“Sekarang negara dilanda gelombang keempat. Kes dalam unit rawatan rapi (ICU) adalah tertinggi sejak wabak.

“Untuk menurunkan jangkitan, kita tiada pilihan lain pada masa ini selain PKP,” kata beliau.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!