PKP 3.0: Lebih 6 juta penduduk Selangor dijangka terjejas

Penduduk di enam daerah di Selangor tidak dibenarkan merentas daerah bermula jam 12.01 malam tadi.
Penduduk di enam daerah di Selangor tidak dibenarkan merentas daerah bermula jam 12.01 malam tadi.
A
A
A

[INFOGRAFIK] Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali lagi dilaksanakan buat kali ketiga di negara kita selepas julung-julung kalinya diperkenalkan pada 18 Mac tahun lalu.

Tujuannya tidak lain lagi adalah untuk mengekang peningkatan kes positif Covid-19 yang menular di negara kita sejak setahun lalu.

Kali ini, Mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah menetapkan pelaksanaannya ke atas enam daripada sembilan daerah di Selangor.

Bermula hari ini, pelaksanaan PKP 3.0 itu menyaksikan sekatan pergerakan ke atas penduduk -penduduk di Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

Tujuannya tidak lain lagi adalah untuk mengekang peningkatan kes Covid-19 di Selangor yang mencatatkan jumlah kes baharu sebanyak 1,548 kes.

Susulan itu, kira-kira 6.5 juta penduduk di semua daerah yang dikenakan PKP dijangka terjejas bermula hari ini hingga 17 Mei ini.

Esok, beberapa negeri turut dikenakan PKP. Antaranya ialah Wilayah persekutuan Kuala Lumpur, Perak (Taiping, Larut, Matang dan Selama) serta Johor (Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi).

Pelaksanaan di negeri-negeri terbabit bermula dari 7 hingga 20 Mei 2021.

Artikel Berkaitan:

Sungguhpun, daerah-daerah berkenaan dikenakan PKP, namun Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua aktiviti ekonomi masih dibenarkan dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat manakala aktiviti sosial tidak dibenarkan.

Bagi mengetahui SOP lanjut berhubung PKP di enam daerah ini termasuk mengetahui apa yang boleh dilaksanakan dan dilarang sepanjang PKP, orang ramai boleh mengakses laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, MKN memutuskan PKP selepas meneliti pembentangan Kerajaan Selangor serta merujuk kepada Kementrian kesihatan Malaysia (KKM) dan data sistem amaran awal iaitu Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE).

"Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira peningkatan mendadak kes positif Covid-19 dan bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 Selangor yang telah mencatatkan jumlah kes harian tinggi sejak 20 April sehingga 4 Mei 2021," katanya.

Justeru, orang orang dinasihatkan supaya mematuhi SOP yang ditetapkan supaya pelaksanaan PKP ini dapat dilakukan dengan berkesan, sekali gus memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

PKP bukan lagi pelaksanaan yang baharu dalam kalangan rakyat di negara ini. Ia diperkenalkan selepas pandemik tersebut menular ke negara kita pada Mac 2020.

Susulan itu, kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melaksanakan perintah berkenaan di seluruh negara selama 2 bulan 6 hari bermula dari 18 Mac hingga 12 Mei 2020.

PKP kemudiannya dilonggarkan kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos 2020.

Bagaimanapun, PKP kali kedua atau 2.0 dilaksanakan kembali susulan peningkatan kes mendadak akibat gelombang ketiga yang membadai negara pada 20 September 2020.

Kesan daripada itu, kes dilaporkan meningkat kepada tiga angka berbanding sebelum ini yang mana kes dicatatkan hanya dua angka.

KKM dalam satu kenyataan menjelaskan, gelombang ketiga itu telah bermula di Sabah dan melibatkan negeri lain di Semenanjung Malaysia seperti Kedah dan Selangor.

Bagaimanapun, PKP 2.0 tidak seperti yang pertama dahulu. Pelaksanaannya melibatkan enam buah negeri sahaja iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Sementara SOP yang dikuatkuasakan juga tidak seketat yang pertama apabila beberapa sektor ekonomi dibenarkan beroperasi semula.

Namun, aktiviti rentas negeri telah ditarik balik sehingga ke hari ini bermula dari pelaksanaan PKP fasa kedua itu selepas kerajaan membenarkan orang ramai merentas negeri bermula Mei tahun lalu.