Bimbang PKP 3.0 temui kegagalan

PKP 3.0 dilaksanakan di enam daerah di Selangor bermula Khamis dan di Kuala Lumpur bermula Jumaat.
PKP 3.0 dilaksanakan di enam daerah di Selangor bermula Khamis dan di Kuala Lumpur bermula Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa pihak menyuarakan kebimbangan sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan akan mengalami kegagalan.

Antara yang menyuarakan kebimbangan tersebut ialah Pengarah Komunikasi Strategik DAP, Liew Chin Tong dan bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.

Menurut Chin Tong, PKP sepatutnya menjadi langkah terakhir kerajaan bagi mengekang penularan wabak dan bukannya pilihan utama.

“Pelaksanaan PKP ke atas enam daerah di Selangor pada saat akhir dan beberapa hari sebelum Aidilfitri hanya menunjukkan kegagalan Perikatan Nasional (PN) menguruskan krisis kesihatan dan ekonomi secara efektif.

“Daripada obses dengan PKP dan darurat, kerajaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya meningkatkan ujian saringan dan menjalankan penjejakan kontak rapat secara besar-besaran.

“Langkah-langkah ini dilakukan dengan menyelaraskan usaha kita,” katanya menerusi ciapan di Twitter beliau pada Rabu.

Chin Tong berkata, adalah tidak waras untuk kerajaan melakukan perkara sama berulang kali tetapi mengharapkan hasil berbeza.

“Dalam hal Covid-19, Malaysia perlu melaksanakan kaedah lain dengan segera,” tegas beliau.

Artikel Berkaitan:

Mengulas isu sama, Boon Chye pula berpendapat, PKP seharusnya dibuat secara bersasar dan bukannya sebahagian negeri.

“Kita tidak boleh buat satu daerah. Sepatutnya dibuat satu taman, pangsapuri atau kondominium di mana kawasan penularan berlaku.

“PKP ini mesti spesifik supaya dapat dipastikan selepas dua minggu ia akan tamat.

“Contohnya, kalau Seksyen 17 di Petaling Jaya dibuat PKP, kita buat ujian yang luas atau mass testing untuk kawasan tersebut. Dalam seminggu kita sudah tahu siapa yang ada jangkitan lagi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Boon Chye yang merupakan Jurucakap Kesihatan Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut menyenaraikan tiga kelemahan pelaksanaan PKP yang dilakukan oleh kerajaan PN.

Menurutnya, kelemahan pertama ialah pelaksanaan PKP tidak serentak dengan ujian yang luas bagi mengesan Covid-19 dalam kalangan masyarakat.

“Jadi, PKP ini akan berterusan. Bagi peniaga dan rakyat, mereka tidak tahu berapa lama PKP akan berlangsung menyebabkan mereka sukar untuk merancang serta perniagaan juga menghadapi masalah,” katanya.

Ahli Parlimen Gopeng itu berkata, kelemahan kedua ialah setiap kali pengumuman PKP, prosedur operasi standard (SOP) juga berubah-ubah mengakibatkan ramai orang terkeliru.

“Misalnya waktu operasi perniagaan. Ada perniagaan boleh beroperasi sehingga jam 10 malam dan ada perniagaan boleh beroperasi sehingga jam 12 tengah malam.

“Ini akan mengelirukan mereka yang berniaga. Lebih baik diselaraskan. Kalau rasa sehingga jam 12 tengah malam boleh, lebih baik sehingga jam 12 tengah malam,” katanya.

Dengan penyelarasan itu, katanya, orang ramai akan mengetahui bahawa mereka tidak dibenarkan keluar selepas jam 12 tengah malam.

Kelemahan ketiga, menurut Boon Chye ialah dari segi pemberian vaksin yang dilakukan oleh kerajaan.

Beliau menyarankan agar pemberian vaksin diberi keutamaan kepada penduduk di kawasan yang menghadapi PKP.

“Kalau kita boleh beri vaksin kepada seluruh rakyat di Selangor dan Kuala Lumpur, penularan akan berkurang. Jadi dia akan melindungi orang-orang di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Contohnya untuk orang Perak seperti saya, secara tidak langsung turut dilindungi. Ini kerana apabila punca jangkitan daripada Lembah Klang berkurang, orang Perak pun lebih selamat,” katanya.

Pada Selasa, kerajaan bersetuju melaksanakan PKP di enam daerah di Selangor bermula Khamis sehingga 17 Mei ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, enam daerah yang terlibat ialah daerah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

Kerajaan turut melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bermula 7 hingga 20 Mei ini.