Pengasas Huawei tepis tekanan dari AS

Ren Zhengfei tepis tekanan dari AS terhadap Huawei. - Foto BBC
Ren Zhengfei tepis tekanan dari AS terhadap Huawei. - Foto BBC
A
A
A

BEIJING - CHINA . Pengasas syarikat telekomunikasi terkemuka, Huawei menegaskan bahawa Amerika Syarikat (AS) tidak akan mampu menghancurkan syarikat berkenaan.

Dalam satu temuramah eksklusif bersama BBC, Ren Zhengfei berkata, walaupun AS melobi lebih banyak negara untuk memboikot Huawei, ia masih boleh mengecilkan operasi dan meneruskan perniagaan.

"AS tidak akan mampu menghancurkan kami," tegas Zhengfei yang turut menyifatkan penahanan anak perempuan beliau, Meng Wanzhou sebagai bermotif politik.

Wanzhou yang juga Ketua Eksekutif Kewangan Huawei, ditahan pada 1 Disember lalu di Vancouver atas permintaan AS.

Secara keseluruhan, 23 pertuduhan dikenakan Jabatan Keadilan AS terhadap Huawei dan Wanzhou termasuk penggubahan wang haram, penipuan bank dan mencuri rahsia perniagaan.

Dalam pada itu, AS, Australia dan New Zealand turut menyekat Huawei daripada membekalkan peralatan bagi rangkaian perkhidmatan broadband 5G mereka, sementara Kanada meneliti sama ada produk syarikat terbabit mendatangkan risiko keselamatan.

Terdahulu, Setiausaha Negara AS Mike Pompeo memberi amaran, penggunaan teknologi Huawei oleh negara sekutunya akan menyukarkan Washington untuk terus bekerjasama dengan mereka.- BBC

Artikel Berkaitan: