Adab dalam masyarakat

Perkara asas seperti nilai, adab, budaya, kesusilaan perlu disemai dan dibajai dalam masyarakat.
Perkara asas seperti nilai, adab, budaya, kesusilaan perlu disemai dan dibajai dalam masyarakat.
A
A
A

APA sebenarnya yang dah jadi dengan kita ini? Itu adalah soalan yang dikemukakan oleh seorang moderator kepada penulis baru-baru ini setelah beliau memberi mukadimah segala macam permasalahan yang mendepani kita dewasa ini.

Soalan tersebut dikemukakan dalam satu wacana dengan tajuk cabaran dan harapan untuk melahirkan pemimpin politik yang berintegriti serta berilmu. Penulis diundang menjadi salah seorang ahli panel di ibu kota negara.

Penulis menjawab soalan tersebut dengan memberi analogi bagaimana kita semua sedia maklum harga sebotol air mineral 250 ml. Kita tahu harga air tersebut tetapi majoriti kita tidak tahu nilai air tersebut.

Kita hanya akan tahu nilainya apabila rumah kita terpotong bekalan air. Pada waktu itu, sebotol air mineral 250 ml akan kita pertahankan sebaik mungkin. Hanya pada waktu itu, nilai air tersebut akan dihargai.

Seperti benda-benda lain di sekeliling kita, kita tidak tahu nilainya kerana kita tidak dididik untuk menghargai persekitaran kita dan benda-benda yang ada di sekeliling kita.

Tidak ramai yang tahu nama-nama pokok yang ada di tepi-tepi jalan. Jauh sekali apa kegunaan dan kelebihan pokok tersebut. Kita tidak menghargai sumbangan fauna dan flora kepada alam sekitar.

Lebih menyedihkan apabila dalam kesibukan ibu bapa mengejar kekayaan, anak-anak dibiarkan untuk dibesarkan oleh pembantu rumah secara total. Nilai apa yang kita harapkan akan dipupuk dan dipindahkan oleh pembantu rumah kepada anak-anak kita ini?

Kita sebagai sebuah masyarakat telah menjadi terlalu materialistik dalam segala perkara. Dalam memilih jodoh umpamanya, untuk anak-anak kita, kita lebih melihat kepada besar mana rumah dan kereta milik bakal menantu kita itu. Jarang-jarang sekali kita menilai hati budi dan menduga keikhlasan bakal menantu tersebut terhadap anak kita.

Artikel Berkaitan:

Masyarakat hari ini terlalu mengambil mudah dalam semua hal sehingga hilang hormat sesama manusia. Lihat sahaja gaya bahasa yang digunakan pada bebenang dalam media sosial. Lupakah kita kepada peribahasa bahawa 'bahasa menunjukkan bangsa'?

Kalau kita menilai sesetengah komen yang ditinggalkan di bebenang media sosial, kita boleh rumuskan bahawa mereka yang menulis ini seperti orang yang tidak pernah diberi pendidikan tentang adab dan agama.

Impak

Begitu juga apabila kita menilai persekitaran dan impak kepada apa yang sedang berlaku dalam negara kita, satu kesimpulan ringkas dapat kita rumuskan bahawa Malaysia sedang mengalami keruntuhan adab dan moral dalam kalangan masyarakatnya sehinggakan ramai yang hilang malu atau mungkin sudah tidak ada perasaan malu lagi dalam diri mereka.

Bagi orang yang beragama Islam, kita diberitahu bahawa malu itu adalah sebahagian daripada iman tetapi kalau kita lihat laporan-laporan di dada akhbar dan di media sosial, kita menjadi malu untuk menyebut perlakuan dan permasalahan dalam masyarakat dewasa ini.

Daripada hal-hal melibatkan rasuah sehinggalah hal-hal kecil sesetengah pihak yang tanpa segan silu mempamerkan kepada khalayak bagaimana mereka melanggar undang-undang negara dan masih mampu tersenyum riang.

Semua itu, walaupun sesetengahnya dilihat sebagai perkara kecil tetapi yang kecil itulah yang akan menjadi permulaan kepada masalah-masalah lain yang lebih besar.

Kalau perkara asas seperti nilai, adab, budaya, kesusilaan tidak disemai dan dibajai, maka kita akan melahirkan generasi yang kurang adab serta tidak bermoral.

Pada ketika itu, sekuat mana pun laungan kita untuk membanteras rasuah, salah guna kuasa dan segala bentuk penyelewengan serta permasalahan yang mendepani kita, ia tidak akan diendahkan masyarakat.

Kita harus bertindak sekarang untuk memperbetulkan nilai, adab dan moral rakyat negara ini dengan apa cara sekalipun secepat mungkin.

* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff adalah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM