Polis lepaskan tembakan elak dirempuh

Suspek meninggalkan kereta dipenuhi kotak mengandungi mercun berdekatan tanah perkuburan di Peringat, Kota Bharu.
Suspek meninggalkan kereta dipenuhi kotak mengandungi mercun berdekatan tanah perkuburan di Peringat, Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta dipercayai milik penyeludup mercun setelah suspek cuba merempuh polis yang mengejar dan mengarahkannya berhenti di kawasan bandar Pasir Mas pada Rabu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, sebelum itu, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas terserempak dengan sebuah kereta Honda Accord berwarna kelabu di kawasan bandar Pasir Mas.

Katanya, menyedari pihak polis, pemandu kereta terbabit terus memecut laju ke arah Lemal sebelum sebuah lagi kenderaan MPV IPD Pasir Mas yang sampai di bulatan Lemal turut sama mengejar kereta suspek melalui Jambatan Salor menuju ke Kota Bharu.

“Polis mengejar melalui Jalan Aur Duri, Ketereh sehingga ke kawasan kampung Peringat, Kota Bharu sebelum kereta suspek tersekat di jalan mati.

“Anggota MPV kemudian berhenti di belakang kereta itu dan terus keluar menghala ke arah sisi kenderaan mengarahkan suspek keluar namun dia enggan serta cuba merempuh polis menyebabkan anggota melepaskan tembakan ke arah kenderaannya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, suspek bagaimanapun memusingkan kenderaan dan berjaya lolos.

“Anggota cuba menjejaki semula suspek tetapi gagal sehinggalah sampai di kawasan Kampung Seterpa, orang kampung menunjukkan arah kereta suspek masuk menghala ke kawasan perkuburan Kuin, Peringat.

“Sampai di lokasi tersebut didapati kereta ditinggalkan di tepi jalan dengan pintu pemandu terbuka. Suspek dipercayai melarikan diri,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kotak-kotak berisi mercun di dalam but kereta suspek.
Kotak-kotak berisi mercun di dalam but kereta suspek.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut ke atas kereta tersebut di bahagian tempat duduk belakang dan but menemui kotak-kotak berisi pelbagai jenis mercun.

“Semakan ke atas kereta tersebut mendapati tiada rekod kehilangan.

“Usaha mengesan dan menangkap suspek diteruskan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.