X

Kindly register in order to view this article
!

PKP: Saya tahu rakyat marah, kata Ismail Sabri

Ismail Sabri menyampaikan sumbangan kepada pelajar Sekolah Tahfiz dan Asrama Anak Yatim Angkatan Tentera Malaysia (STAY ATM) di Kem Perdana Sungai Besi di sini pada Rabu.
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan tahu rakyat marah khususnya berhubung pengumuman mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam daerah di Selangor bermula tengah malam ini dan Kuala Lumpur pada 7 Mei.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun menegaskan, usaha tersebut tidak lain bertujuan untuk memastikan keselamatan rakyat di negara ini.

"Saya tahu rakyat marah... tujuan kita adalah untuk menyelamatkan nyawa rakyat," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama pelajar Sekolah Tahfiz dan Asrama Anak Yatim Angkatan Tentera Malaysia (STAY ATM) di Kem Perdana Sungai Besi di sini pada Rabu.

Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Beliau turut menafikan pelbagai dakwaan yang dilemparkan kepada kerajaan selepas pengumuman PKP itu menjelang perayaan Aidilfitri minggu depan.

Menurutnya, keputusan dibuat kerajaan berdasarkan sistem amaran awal iaitu 'Hotspots Identification for Dynamic Engagement' (HIDE) yang dibangunkan Bank Negara Malaysia (BNM) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpandukan MySejahtera.

"Rakyat kena faham bukan tujuan kerajaan untuk menyusahkan. Kita tidak mahu Malaysia akhirnya menjadi seperti India selepas beberapa pemimpin negara itu mengisytiharkan menang dalam peperangan menentang Covid-19 dan mula memberikan kebebasan.

"Akibatnya, berlaku penularan Covid-19 di India sehingga kerajaan sudah tidak mampu mengawalnya," katanya.

Beliau mengambil contoh perkembangan Covid-19 di Kelantan yang berlaku secara mendadak sehingga hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU) terpaksa membuka hospital sementara kerana katil hospital sedia ada tidak mencukupi.

"Perkara ini tidak mustahil berlaku di Kuala Lumpur dan Selangor berdasarkan peningkatan kes yang mendadak," katanya.

Ismail Sabri berkata, pihaknya dimaklumkan melalui pembentangan KKM tidak mustahil selepas Aidilfitri kes Covid-19 boleh meningkat kepada 5,000 sehari jika masih gagal mengekang pandemik tersebut.

"Jika meningkat menjadi 10,000 kes, kita mungkin jadi macam India dan kerajaan tidak mahu melihat rakyat mati bergelimpangan seperti di negara itu.

"Disebabkan itu, intervensi perlu dilakukan dengan segera dan saya harap rakyat faham tindakan dilakukan untuk melindungi nyawa mereka," katanya.

Katanya, kerajaan tidak mahu menjadi kerajaan tidak bertanggungjawab jika keadaan itu berlaku dan atas sebab sayangkan rakyat, PKP merupakan jalan terbaik.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!