MAIWP salur bantuan Aidilfitri kepada 29,400 asnaf

Mohd Daud (berdiri, tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf yang hadir pada Program Ramadan MAIWP Bersama Komuniti (Iftar Bersama Asnaf) di Pusat Komuniti Intan Baiduri hari ini. - Foto Bernama
Mohd Daud (berdiri, tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf yang hadir pada Program Ramadan MAIWP Bersama Komuniti (Iftar Bersama Asnaf) di Pusat Komuniti Intan Baiduri hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 29,400 asnaf di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya akan menerima bantuan Aidilfitri Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berjumlah RM700 seorang yang disalurkan bermula Rabu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, bantuan itu melibatkan peruntukan RM20.3 juta yang dijangka dapat meringankan beban golongan itu dalam menyambut Aidilfitri minggu depan.

“Bantuan Aidilfitri Baitulmal MAIWP merupakan salah satu daripada 30 skim bantuan yang disediakan dan saya berharap MAIWP dapat melaksanakan agihan kepada penerimanya dengan cepat mengikut keperluan asnaf.

“Setinggi penghargaan diucapkan kepada pembayar zakat di Wilayah Persekutuan yang menunaikan zakat kerana tanpa komitmen mereka program bantuan kepada masyarakat tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi MAIWP, Datuk Dr Mohd Daud Bakar pada Program Ramadan MAIWP Bersama Komuniti (Iftar Bersama Asnaf) di Pusat Komuniti Intan Baiduri, Taman Intan Baiduri di sini Rabu.

Selain Bantuan Baitulmal itu, MAIWP turut menyalurkan bantuan Aidilfitri sebanyak RM300 kepada penghuni institut di bawah MAIWP iaitu 420 pelajar Darul Kifayah, 250 pelajar Institut Kemahiran Baitulmal dan 38 pelatih Dar Assaadah.

Pada program itu, MAIWP turut menyampaikan sumbangan wang tunai RM500 kepada 100 ketua keluarga, hasil sumbangan Lembaga Tabung Haji serta bantuan makanan keperluan oleh QSR Brands dan Pasta Panas. - Bernama

Artikel Berkaitan: