Covid-19: Thailand lapor kes pertama varian Brazil

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

BANGKOK - Thailand melaporkan kes pertama varian Covid-19 Brazil ketika kerajaan sedang mempergiat usaha memerangi gelombang ketiga jangkitan.

Dalam tempoh 24 jam lalu, Thailand mencatat 2,112 kes baharu dan 15 kematian, menjadikan jumlah jangkitan kepada 74,900 dan korban seramai 318 orang.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata kes membabitkan varian Brazil itu dikesan di sebuah pusat kuarantin, katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini pada Rabu.

Thailand berdepan tugas getir berikutan peningkatan mendadak kes varian B 117 yang sangat mudah merebak. Varian B 117 pertama kali dikesan di United Kingdom.

Daripada 2,112 kes baharu, Apisamai berkata, 2,107 adalah penularan tempatan termasuk 1,955 mereka yang mendapatkan rawatan di hospital, 152 melalui pengesanan kes aktif dan lima kes import.

Katanya, 15 kematian melibatkan lapan lelaki dan tujuh wanita berusia antara 50 dan 86 tahun, empat di Bangkok, Nonthaburi dan Sukhothai (masing-masing dua) dan masing-masing satu dari Pathum Thani, Rayong, Yala, Ayutthaya, Prachuap Khiri Khan, Nakhon Phanom dan Nakhon Pathom

Sehingga kini, sejumlah 30,222 pesakit masih dirawat di hospital dan 1,042 kritikal termasuk 343 yang memerlukan bantuan mesin pernafasan.

“Kadar jangkitan di Bangkok dan kawasan pinggir masih tinggi. Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) akan terus melakukan pengesanan kes aktif di kawasan berpenduduk padat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kira-kira 30,000 pengesanan kes aktif telah dilakukan di daerah Pathum Wan, 162 daripadanya didapati positif. - Bernama