Terkedu lihat bumbung rumah diterbangkan ribut

Norhayati bersama suami, Darus Ain, 52, mengemas rumahnya yang rosak akibat dilanda ribut di Pengkalan Bharu, Beruas pada Rabu.
Norhayati bersama suami, Darus Ain, 52, mengemas rumahnya yang rosak akibat dilanda ribut di Pengkalan Bharu, Beruas pada Rabu.
A
A
A

BERUAS - Lima sekeluarga tidak sempat menghabiskan makanan ketika berbuka puasa apabila dikejutkan dengan kejadian ribut yang menerbangkan bumbung rumah mereka di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Bumi Hijau, Pengkalan Bharu di sini pada Selasa.

Dalam kejadian sekitar jam 7.30 malam itu, Norhayati Jaber, 53, bersama suami, dua anak lelaki dan menantu perempuan hanya sempat menjamah sedikit makanan dan terdiam menyaksikan bumbung rumah diterbangkan angin satu persatu.

Norhayati berkata, kejadian itu berlaku ketika hujan lebat, disusuli angin kuat dan dentuman petir.

“Tiba-tiba bumbung rumah bergoyang dan sekelip mata sahaja sudah diterbangkan ribut membuatkan kami lima beranak terdiam memandang sekeliling.

"Dalam keadaan terkejut itu, suami saya terus menjerit meminta kami mencari tempat berlindung untuk menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui pemberita pada lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baru, Datuk Abd Manaf Hashim di rumahnya pada Rabu.

Beliau berkata, mereka sekeluarga kemudian berkumpul di hadapan rumah sambil tidak putus-putus berdoa agar tiada perkara buruk berlaku.

“Kami memang tak ingat apa lagi, barang semua kami tak bawa bersama. Hanya ingat nyawa saja dan kami berserah pada ALLAH,” katanya yang juga penghidap kanser payudara tahap tiga.

Meskipun masih trauma dengan kejadian itu, Norhayati tetap bersyukur kerana semuanya selamat tanpa sebarang kecederaan teruk.

Artikel Berkaitan:

"Hanya menantu cedera sedikit di kepala akibat terkena mentol lampu yang terjatuh, kami yang lain baik-baik sahaja.

"Dua hari sebelum ini ada juga ribut tetapi tidaklah seteruk semalam (Selasa)," katanya.

Dalam kejadian Selasa, ribut yang melanda kawasan itu mengakibatkan lebih 30 rumah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Bhaaru terjejas.

Abd Manaf berkata, pihaknya bersama agensi berkaitan dan Lumut Port akan membantu kerja-kerja baik pulih kerosakan rumah penduduk yang terjejas dengan kerugian dianggarkan RM200,000.

“Pejabat Tanah dan Daerah Manjung sudah mengambil maklumat untuk tindakan lanjut. Pembaikan akan mengambil masa, namun kita akan cuba dilakukan secepat mungkin," katanya.