Pendeka gesa siasat isu campur tangan politik dalam polis

Abd Agfarnizar Abdul Wahab
Abd Agfarnizar Abdul Wahab
A
A
A

ALOR SETAR - Persatuan Penggerak Dakwah Ekonomi Dan Kebajikan Amal Malaysia (Pendeka) menggesa kerajaan membuat siasatan berhubung dakwaan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengenai campur tangan politik dalam pasukan polis.

Setiausaha Pendeka, Abd Agfarnizar Abdul Wahab berkata, walaupun semua sedia maklum Abdul Hamid sendiri dilantik semula menyertai pasukan polis menerusi campur tangan politik ketika zaman Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, namun tuduhannya itu perlu disiasat demi memulihkan kembali imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, campur tangan daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam isu berkenaan amat diperlukan kerana tuduhan tidak berintegriti itu melibatkan menteri di dalam kabinet beliau.

Katanya, apatah lagi menteri yang didakwa terlibat berstatus menteri kanan yang dilihat rapat dengan Perdana Menteri.

“Oleh itu, Muhyiddin tidak boleh lagi berdiam diri dan mengabaikan isu ini tanpa sebarang tindakan kerana ini adalah kali pertama dalam sejarah negara wujudnya krisis di antara kepimpinan kanan pasukan polis dan menteri yang bertanggungjawab menjaga portfolio keselamatan dalam negeri.

“Jadi, selesaikanlah isu ini. Jangan hanya berpeluk tubuh. Untuk memulihkan semula imej kerajaan dan pasukan polis, hendaklah diwujudkan satu jawatankuasa bagi menyiasat setiap tuduhan yang dilemparkan," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Menurutnya, siasatan yang lebih mendalam perlu dilakukan kerana rakyat juga ingin tahu sama ada tuduhan itu benar atau sebaliknya.

“Rakyat juga tidak mahu pasukan polis diperkotak-katikkan seperti mana yang berlaku sejak kebelakangan ini. Maka, buatlah yang terbaik kerana ini semua melibatkan maruah kerajaan dan pasukan polis," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Kecewa wujud usaha kuasai Cawangan Khas Bukit Aman

Menteri tidak sepatutnya jadi Pengerusi SPP - KPN