X

Kindly register in order to view this article
!

Farah Ann lega lengkapkan vaksinasi

Farah Ann bersedia menyertai Piala Cabaran Dunia (FIG) Persekutuan Gimnastik Antarabangsa di Kaherah, Mesir selepas melengkapkan dos kedua vaksin Covid-19.
A
A

RATU gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi yang kini bersiap sedia menyertai Piala Cabaran Dunia (FIG) Persekutuan Gimnastik Antarabangsa di Kaherah, Mesir berasa lega, selepas melengkapkan dos kedua vaksin Pfizer-BioNTech.

Atlet berusia 27 tahun kelahiran Selangor itu berkata, beliau amat bersyukur dan lega kerana beliau kini telahpun melengkapkan kesemua dua dos vaksin itu, dan kini berasa lebih selamat untuk berlatih dan lebih yakin untuk bertanding di luar negara.

Beliau menyasarkan untuk memberikan persembahan terbaiknya pada kejohanan terakhirnya sebelum menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Saya hanya akan menyertai Piala Cabaran Dunia di Mesir pada Jun, saya akan ke sana dan kembali. Saya perlu bersedia untuk Olimpik, jadi perancangan ini agak bagus, dan saya akan gunakan apa yang ada.

"Bagi saya, saya amat bersyukur kerana berpeluang ke Mesir, kerana telah lama kita tidak menyertai sebarang kejohanan,” katanya selepas menerima suntikan keduanya itu di Kompleks Sukan DBKL, semalam.

Kali terakhir Farah Ann beraksi dalam kejohanan ialah pada November 2019 iaitu di Sukan SEA Filipina di mana beliau membawa pulang tiga pingat emas dalam acara ‘all-round’, palang bertingkat dan senaman lantai.

Pada masa ini, Farah Ann tinggal dan menjalani latihan di Kompleks Sukan Bukit Jalil Kuala Lumpur, yang tidak termasuk dalam kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan pada Selasa.

PKP dari 6-17 Mei itu akan dilaksanakan di enam daerah di Selangor iaitu Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

Pergerakan antara daerah dan negeri tidak dibenarkan di bawah PKP, kecuali untuk kecemasan, kerja dan pergerakan yang dibenarkan di bawah prosedur operasi standard.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!