Kemenangan pertama barakan semangat juang TRW

No Image Caption
A
A
A

KEMENANGAN pertama, yang diraih Kelantan selepas menewaskan UKM FC 1-0 dalam saingan Liga Premier di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, malam tadi, membakar semangat pemain untuk meneruskan momentum kemenangan pada aksi seterusnya selepas ini.

Penolong Jurulatih Kelantan, Kamaruddin Muhammad mengakui kemenangan sulung selepas tiga perlawanan itu jelas menyuntik kembali semangat pemain setelah tewas 0-1 kepada Selangor United dan seri 3-3 menentang Sabah pada dua aksi terdahulu.

"Saya bersyukur kepada ALLAH SWT di atas kemenangan ini dan walaupun kita kekurangan pemain selepas lima pemain utama beraksi pada Kejohanan Bawah 22 AFF, kita masih lagi dapat memberikan persembahan terbaik.

"Kemenangan pertama ini adalah satu azimat untuk pasukan kita menghadapi perlawanan selepas ini, namun saya akui kita perlu pertajamkan jentera serangan yang kelihatan agak lemah pada perlawanan ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berkenaan.

Pemain import dari Brazil, Flavio Beck Junior muncul wira skuad 'The Red Warriors' apabila menyempurnakan sepakan penalti pada penghujung babak perlawanan untuk mengesahkan tiga mata pertama pasukan berkenaan.

Pengadil, Mohd Shahrizan Mohamad Solihim memberikan sepakan penalti itu selepas pemain Kelantan, Raul Andres Lemos dikasari penjaga gol UKM FC, Khatul Anuar Md Jalil di dalam kotak penalti.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih UKM FC, Sulaiman Husin mempersoalkan tindakan Mohd Shahrizan yang memberikan sepakan penalti kepada Kelantan pada babak akhir perlawanan.

"Saya menyeru kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membawa pengadil yang lebih berkualiti. Bagaimanapun, kita akan memberi fokus kepada perlawanan selepas ini," jelasnya dengan nada kecewa.

Artikel Berkaitan:

Kemenangan itu menyaksikan Kelantan naik lima anak tangga ke kedudukan keenam dengan kutipan empat mata, manakala UKM FC turun satu anak tangga ke kedudukan kesembilan dengan kutipan tiga mata selepas tiga perlawanan. - Bernama