Alat pemadam api meletup, lelaki hampir putus kaki

Mangsa yang cedera parah di bahagian lutut dibawa ke HRPB, Ipoh untuk rawatan lanjut. -Foto: Ihsan bomba
Mangsa yang cedera parah di bahagian lutut dibawa ke HRPB, Ipoh untuk rawatan lanjut. -Foto: Ihsan bomba
A
A
A

IPOH - Seorang lelaki nyaris maut apabila sebuah alat pemadam api meletup dalam kejadian di sebuah premis Jalan Hussin Nordin, Taman Pearl di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa berusia 47 tahun cedera parah dengan bahagian lutut kaki kanannya hampir putus, manakala dua rakannya cedera ringan.

Mangsa difahamkan sedang menyelenggara alat pemadam api jenis serbuk kering ABC sebelum berlaku letupan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Mohd Azman Husin berkata, seramai 10 anggota termasuk unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

"Setibanya di tempat kejadian, mangsa berada dalam keadaan kritikal dengan kaki kanannya terkulai hampir putus dipercayai terkena serpihan alat pemadam api.

"Anggota kemudiannya bertindak memberi rawatan awal kepada mangsa yang terlibat dan menyerahkan kepada pasukan perubatan yang bersedia di lokasi kejadian," katanya di sini pada Rabu.

Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut.

"Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan: