Empat beranak didakwa rogol ahli keluarga sendiri

Empat beranak dibawa ke Mahkamah Sesyen di Melaka pada Rabu.
Empat beranak dibawa ke Mahkamah Sesyen di Melaka pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Seorang bapa dan tiga anak lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan merogol, meliwat dan memukul seorang remaja perempuan yang juga ahli keluarga mereka sejak tahun lalu.

Tertuduh berusia 51 tahun dan tiga anak masing-masing berusia 23, 27 dan 29 tahun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan secara berasingan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki yang merupakan ketua keluarga itu didakwa dengan 33 pertuduhan kerana merogol mangsa yang berusia 17 tahun dua bulan, yang mana perhubungan tertuduh dengan anaknya itu adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang untuk berkahwin dengannya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun dan dikenakan tidak kurang 10 sebatan.

Tertuduh juga berdepan satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Dia turut didakwa telah dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa dengan menggunakan getah paip.

Selain itu, dia juga didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda, sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Remaja perempuan dinoda bapa, 3 abang kandung

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ketiga-tiga anaknya iaitu abang mangsa masing-masing dihadapkan dengan 18 pertuduhan merogol dan turut didakwa atas Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.

Adik-beradik itu juga didakwa atas satu pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii dan didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun dan hendaklah dikenakan hukuman tidak kurang 10 sebatan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan keempat-empat tertuduh di sebuah rumah di Taman Krubong Jaya di sini antara 1 Mac 2020 dan 1 Februari 2021.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari membantah sebarang jaminan diberikan disebabkan mangsa adalah darah daging keluarga itu sendiri dan dikhuatiri akan diganggu oleh kesemua tertuduh.

Nariman bagaimanapun membenarkan bapa mangsa diikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan atau jumlah keseluruhan RM280,000 manakala ketiga-tiga anaknya dibenarkan diikat jamin sebanyak RM144,000 seorang.

Mahkamah menetapkan tarikh 8 Jun depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Pada 23 April lalu, Sinar Harian menyiarkan berita mengenai seorang remaja perempuan mendakwa dirogol dan diliwat oleh bapa serta tiga abang kandungnya sejak lebih setahun lalu.

Mangsa yang telah kematian ibu tinggal di sebuah rumah di Taman Sri Krubong, Tanjung Minyak di sini bersama keempat-empat suspek.