Kutipan sisa pepejal meningkat 20 peratus pada Ramadan

Raja Kamal Azizol Raja Ibrahim (tengah) mewakili Mohd Zain menyerahkan tong minyak masak kitar semula dan bubur lambuk kepada peniaga bazar Ramadan di Surau Al-Hikmah PPR, Jinjang, Kuala Lumpur pada Rabu.
Raja Kamal Azizol Raja Ibrahim (tengah) mewakili Mohd Zain menyerahkan tong minyak masak kitar semula dan bubur lambuk kepada peniaga bazar Ramadan di Surau Al-Hikmah PPR, Jinjang, Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A
A

KEPONG - Kutipan sisa pepejal di Kuala Lumpur mencatatkan peningkatan sebanyak 20 peratus sepanjang Ramadan berikutan pembukaan bazar Ramadan dan program iftar secara buffet.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd Zain Hassan berkata, sehingga 20 Ramadan lalu. sebanyak 33,000 tan sisa pepejal dikutip berbanding 27,000 tan dalam tempoh sama.

Menurutnya, keadaan itu amat membimbangkan kerana ia akan mengurangkan jangka hayat tapak pelupusan dan memudaratkan alam sekitar.

"Walaupun kita teruskan kempen kesedaran awam, namun jumlah sisa pepejal masih meningkat.

"Salah satu sebabnya ialah bazar Ramadan. Apabila ada penjualan yang banyak, ada kemungkinan orang ramai membeli makanan berlebihan yang akhirnya ke tong sampah," katanya pada Program Agihan Bubur Lambuk 'Love Food Hate Waste' di Surau Al-Hikmah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin di sini pada Rabu.

Beliau juga tidak menolak bahawa program berbuka puasa secara buffet di hotel juga penyumbang kepada lambakan sampah di ibu kota.

Justeru, katanya, program Love Food Hate Waste penting untuk diteruskan supaya masyarakat sedar kepentingan melakukan penjimatan daripada segi sisa makanan.

"Kempen ini bagi menggalakkan penggunaan semula bekas makanan yang dibawa sendiri ke bazar Ramadan. Ia bertujuan mengurangkan penggunaan plastik selain mengelakkan pembelian secara berlebihan.

Artikel Berkaitan:

"Beli sekadar apa yang perlu, rancang semasa membeli. Jika masyarakat amalkan budaya ini, Insya-ALLAH kita dapat mengurangkan sisa pepejal di tapak pelupusan," katanya.

Pada program itu, Alam Flora mengagihkan sebanyak 1,000 pek bubur lambuk dalam bekas makanan guna semula selain menyumbang 25 tong kepada peniaga bagi tujuan mengisi minyak masak kitar semula.