Pemandu e-hailing disamun penumpang

Senjata pisau yang digunakan suspek untuk menyamun pemandu e-hailing turut dirampas polis pada Rabu.
Senjata pisau yang digunakan suspek untuk menyamun pemandu e-hailing turut dirampas polis pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pemandu e-hailing berdepan detik cemas apabila disamun penumpangnya dalam satu kejadian di Jalan Prima 1, Kepong pada 27 April lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam kejadian jam 4.45 petang, mangsa berusia 41 tahun menghantar seorang lelaki ke lokasi kejadian.

"Tiba-tiba suspek mengacukan sebilah pisau pada leher mangsa dan memaksanya menyerahkan wang sebelum bertindak menyemburkan cecair pemedih mata di muka mangsa.

"Suspek kemudian terus merampas telefon bimbit milik mangsa dan keluar dari kenderaan untuk melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Eng Lai berkata, pihaknya berjaya memberkas suspek berusia 43 tahun pada jam 3.30 pagi pada Rabu.

"Kita turut merampas beberapa barangan termasuk wang tunai, sebuah telefon bimbit dan juga sebotol penyembur pemedih mata. Anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM1,000," katanya.

Beliau berkata, pihaknya berjaya menyelesaikan tiga kes samun yang dilaporkan sejak seminggu yang lalu dengan tertangkapnya suspek tersebut.

"Suspek kini direman selama enam hari bermula Rabu hingga Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: