609,539 individu terima dua dos vaksin setakat Selasa

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 609,539 individu telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan setakat Selasa, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau menerusi akaun Twitternya pada Rabu berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada 960,070 individu yang telah menerima dos pertama sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini sebanyak 1,569,609 dos setakat Selasa.

Menurut infografik dikongsikan beliau, lima negeri yang menerima suntikan dos pertama tertinggi ialah Selangor dengan 128,840 dos, Sarawak (94,488), Kuala Lumpur (93,115), Johor (85,646) dan Perak (79,933).

Lima negeri yang melengkapkan dua dos suntikan Covid-19 tertinggi pula ialah Selangor dengan 82,150 diikuti Sarawak (63,772), Kuala Lumpur (61,768), Johor (55,052) dan Sabah (53,323).

Sementara itu, setakat Selasa 40.4 peratus atau 9,803,586 individu telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin dengan Selangor mencatat jumlah pendaftaran tertinggi sebanyak 2,517,009 individu iaitu 52 peratus.

Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga bulan ini melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua bermula pada April hingga Ogos pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya, manakala fasa ketiga yang dijadual pada Mei hingga Februari 2022, melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih. - Bernama

Artikel Berkaitan: