'Saya harap suami pulih seperti sedia kala'

Zalina berada di sisi Khalis ketika ditemui di rumahnya di Seremban pada Rabu.
Zalina berada di sisi Khalis ketika ditemui di rumahnya di Seremban pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - "Tiada lain yang saya harapkan melainkan dia dapat pulih seperti sedia kala," kata isteri kepada penyanyi Khalis yang kini terlantar sakit sejak sebulan lalu akibat kencing manis.

Zalina Azman, 40, berkata, Khalis atau nama sebenarnya Muhammad Khalis Md Shari, 33, merupakan tunjang keluarga.

"Saya hanya mohon doa orang ramai buat suami saya," katanya.

Khalis merupakan adik kepada vokalis kumpulan Spin, Allahyarham Achik dan abang kepada penyanyi Tajul kini hanya mampu terbaring di rumah selepas jatuh sakit.

Menurut Zalina, suaminya mula menghidap penyakit kencing manis sejak tahun 2018 namun tidak begitu serius.

"Hanya pada hujung Februari lalu dia terpaksa ditahan di wad Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini kerana kandungan gula dalam badannya terlalu tinggi. Selepas lima hari dirawat dan dibenarkan keluar hospital, keadaannya baik saja.

"Tapi awal April lalu sekali lagi dia dimasukkan ke wad kerana alami 'hypo' sehingga badannya terlalu lemah. Apabila diperiksa kandungan garam dalam darahnya turun mendadak," katanya.

Khalis dipangku anaknya apabila mengadu sakit dada secara tiba-tiba ketika ditemui di rumahnya di Seremban pada Rabu.
Khalis dipangku anaknya apabila mengadu sakit dada secara tiba-tiba ketika ditemui di rumahnya di Seremban pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Sejak itu, kata Zalina, dia dan tujuh anak berusia antara sembilan hingga 20 tahun bergilir-gilir menjaga Khalis yang tidak lagi mampu menguruskan diri.

Ujarnya, Khalis juga sering mengadu sakit-sakit badan dan sesak nafas.

"Walaupun dia sekarang terlantar, tapi saya bersyukur kerana dia masih ingat dan mulutnya tak berhenti berzikir.

"Cuma dia memerlukan perhatian sepenuhnya bermula dari makan dan minum hinggalah uruskan diri," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bandar Seremban Selatan di sini selepas menerima kunjungan Persatuan Cakna Rasa Sayang (PCRS) pada Rabu.

Zalina berkata, disebabkan tidak bekerja, dia sekeluarga kini hanya bergantung harap kepada duit simpanan yang ada.

"Susahlah sedikit sebab kami ada lima orang anak masih bersekolah. Sebelum ini Khalis tempat saya dan anak-anak bergantung.

"Kali terakhir Khalis dapat jemputan menyanyi ialah pada tahun lalu di Johor, tiga hari sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),"katanya.

Bagaimanapun, Zalina berkata, dia bersyukur kerana nasibnya mendapat perhatian Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Malah, katanya, syarikat rakaman Khalis dan beberapa rakan artis turut menghubungi bertanya khabar.

"Sebagai isteri saya perlu terus kuat demi Khalis dan anak-anak," katanya.

Sementara itu, Khalis mengucapkan terima kasih kepada peminat dan orang ramai yang tidak putus mendoakan agar beliau sembuh.

"Terima kasih kepada semua yang mendoakan. Khalis sayang semua," kata bekas vokalis kumpulan The Real Spin itu.

Dalam pada itu, Penaung PCRS, Zulkifli Muhamed berkata, pihaknya akan membuat kutipan dana tabung kecemasan untuk membantu Khalis.

Beliau berkata, dengan keadaan anak yang masih ramai bersekolah semestinya bantuan diperlukan untuk meringankan beban penyanyi itu.

Difahamkan, Mains turut menghulurkan bantuan kewangan segera sebanyak RM500 kepada keluarga Khalis, manakala bantuan lain termasuk bantuan bulanan akan menyusul.

ARTIKEL BERKAITAN: Khalis, abang penyanyi Tajul derita sakit